Penjawat awam dilarang keluar kenyataan bertentangan dasar kerajaan atau berisiko dibuang kerja - JPA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjawat awam dilarang keluar kenyataan bertentangan dasar kerajaan atau berisiko dibuang kerja - JPA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Penjawat awam tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan terhadap sebarang isu atau berdepan risiko dikenakan tindakan tatatertib atau termasuk dibuang kerja.

 

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu hantaran di Facebook berkata, Ketua Jabatan perlu menasihati serta memastikan pegawai kementerian/jabatan masing-masing supaya berhemah dalam membuat sebarang kenyataan, ulasan atau komen dan tidak sesekali menyebarkan maklumat palsu, berunsur hasutan, fitnah, provokasi, atau yang tidak dapat disahkan kebenarannya. 

 

"Sekiranya ada pegawai didapati melakukan kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]," katanya.

 

Jabatan itu berkata, seperti  yang diperuntukkan di bawah subperaturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], pegawai awam tidak boleh secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain seperti berikut:

  • Membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang apa-apa isu
  • Membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan
  • Membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan; atau
  • Mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

 

Manakala subperaturan 19(2) pula memperuntukkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain:

  • Membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan
  • Memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan penjalanan fungsi kerajaan
  • Memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan Kerajaan atau
  • Menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain, melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.

 

Bagaimanapun, Jabatan itu mendapati masih terdapat kes-kes pelanggaran tatatertib melibatkan kesalahan atau pelanggaran terhadap subperaturan 19(1) dan 19(2) P.U. (A) 395/1993. 

 

Sehubungan itu, adalah dimohon semua pegawai awam memberi perhatian dan Ketua Jabatan menasihati serta memastikan pegawai kementerian/jabatan masing-masing agar berhemah dalam membuat apa-apa pernyataan, ulasan atau komen dan tidak sekali-kali menyebarkan maklumat palsu, berunsur hasutan, fitnah, provokasi, atau yang tidak dapat disahkan kebenarannya. - DagangNews.com