Peniaga kecil dalam talian minta dikecualikan e-invois, kata Samenta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peniaga kecil dalam talian minta dikecualikan e-invois, kata Samenta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Mac - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) meminta kerajaan agar mengecualikan peniaga kecil dalam talian daripada diwajibkan penggunaan e-invois sama seperti dinikmati perniagaan fizikal.
 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, pihaknya menerima langkah kerajaan menetapkan bahawa perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang berpendapatan tahunan di bawah RM150,000 dikecualikan daripada keperluan e-invois.
 

Bagaimanapun, peraturan ini tidak terpakai kepada peniaga dalam talian tanpa mengira pendapatan serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan industri dan para pemilik perniagaan kecil kerana situasi ini dianggap sebagai tidak adil.
 

"Ketika ini, peniaga fizikal dengan jualan tahunan kurang RM150,000 sudah dikecualikan daripada sistem e-invois dan Samenta mencadangkan supaya ia turut diperluaskan kepada semua peniaga dalam talian," katanya dalam satu kenyataan.

 

samenta
WILLIAM NG

 

William menjelaskan bahawa perbezaan peraturan anara peruncit fizikal dan dalam talian untuk kategori pendapatan sama sebagai janggal kerana mereka juga menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan sistem baharu ini dalam masa singkat.
 

Sistem automasi e-invois katanya, masih tidak menghapuskan cabaran sama dihadapi oleh peniaga kecil dalam talian, terutama untuk menangani kenaikan kos, pengurangan margin keuntungan dan beban pentadbiran yang semakin meningkat.
 

Pandangan sama turut dipersetujui Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia dan menyifatkan ramai usahawan kecil dalam talian itu sudah cukup terbeban dengan peningkatan kos operasi harian walaupun mereka bukan berniaga fizikal.

 

"Perbezaan peraturan tidak konsisten yang hanya menjadikan keadaan lebih sukar, contohnya, peniaga menjana pendapatan kurang RM150,000 di platform e-dagang masih perlu e-invois," kata wakil CCC, Tarmizi Anuwar dalam kenyataan.
 

Situasi tersebut juga tambah beliau, memberi kesan besar kepada peniaga dalam talian kerana sepatutnya, semua perniagaan berskala kecil perlu diberikan layanan yang sama tanpa mengira jenis platform operasi mereka.

 

tarmizi
TARMIZI ANUWAR

 

Beliau juga menegaskan bahawa RM150,000 setahun bukanlah jumlah yang besar. Memaksa perniagaan dalam kategori ini untuk mematuhi e-invois boleh menghalang pertumbuhan keusahawanan serta memperlahankan transformasi digital.
 

Kerajaan ujarnya, wajar membantu perniagaan kecil berkembang, namun peraturan yang terlalu ketat boleh meningkatkan kos operasi, dan akhirnya dibebankan kepada pengguna akhir dalam bentuk harga jualan lebih tinggi.
 

"Pendekatan yang lebih mesra perniagaan adalah dengan memberikan pengecualian kepada semua perniagaan kecil, sama ada dalam talian atau fizikal, sehingga mereka mencapai tahap pendapatan lebih tinggi," kata Tarmizi. - DagangNews.com