Pengecualian PTPTN terhad, seolah-olah menghukum pelajar cemerlang dari keluarga kaya - Ahli Parlimen Besut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian PTPTN terhad, seolah-olah menghukum pelajar cemerlang dari keluarga kaya - Ahli Parlimen Besut

Gambar BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – Pengecualian bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang hanya diberikan kepada graduan kelas pertama dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dilihat tidak adil dan inklusif.

 

Perkara itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu seolah-olah mengehadkan manfaat dan secara tidak langsung menghukum golongan graduan dari keluarga kaya yang turut berusaha  keras untuk mendapat keputusan cemerlang.

 

Ahli Parlimen Besut, Datuk  Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, dasar baharu itu akan memberikan manfaat hanya kepada lebih kurang 6,000 peminjam PTPTN. 

 

Beliau berkata, sebagai perbandingan, sebelum ini pengecualian bayaran balik adalah inklusif tanpa mengira pendapatan keluarga dan tidak juga dikira miskin atau kaya. 

 

“Tetapi kini, anak rakyat yang kaya tidak lagi dapat pengecualian walaupun memperoleh keputusan cemerlang. Saya ingin bertanya, kenapa kerajaan dilihat macam sangat bermusuhan dengan golongan kaya-kaya atau yang hidup senang?.

 

“Saya bukan merujuk kepada golongan mahakaya seperti taikun-taikun kapitalisme, tetapi pada rakyat yang bertukus-lumus bekerja, mencari rezeki sehingga mampu menyediakan kehidupan yang selesa kepada keluarga mereka. 

 

“Tetapi apa yang mereka dapat?. Mereka seperti dihukum dengan penarikan bermacam manfaat dan insentif, seperti pengecualian bayaran balik PTPTN. Sudahlah tak layak dikecualikan bayaran balik walaupun cemerlang, malah digertak pula dengan sekatan keluar negara jika tidak membayar balik,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Parlimen.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2026: PTPTN percuma untuk 5,800 pelajar miskin, kepujian kelas pertama di IPTA

 

Dalam pada itu, beliau turut mengaitkan keuntungan PETRONAS tahun lalu sebanyak RM55 bilion yang boleh menyelesaikan hutang  tertunggak PTPTN yang berjumlah hanya RM6 bilion.

 

“Kalau ikut logik, kita sudah boleh hapuskan hutang PTPTN ini. Saya tidak mahu bercakap tentang wujudnya janji untuk gunakan hasil PETRONAS ini bagi menanggung hutang PTPTN.

 

“Ini kerana kita faham PETRONAS bertanggungjawab menggunakan hasilnya untuk berikan dividen kepada Kerajaan, perbelanjaan operasi, subsidi tenaga dan sebagainya. 

 

“Apa yang saya ingin ketengahkan adalah janji bulan bintang kepada rakyat demi undi adalah sangat mudah. Bila sudah jadi kerajaan, baru tahu langit tinggi atau rendah,” katanya. - DagangNews.com