KUALA LUMPUR 26 Feb – TH Plantations Berhad merekodkan peningkatan pendapatan 6.61% kepada RM961.24 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM901.67 juta pada FY24.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, pertumbuhan positif itu disokong harga purata direalisasi minyak sawit mentah (MSM), isirung sawit (PK) dan buah tandan buah (BTS) yang lebih tinggi.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan itu turut meningkat 11.5% kepada RM178.9 juta daripada RM160.4 juta pada FY24, mencerminkan margin kukuh serta pelaksanaan operasi yang berdisiplin.
"Walaupun jumlah jualan MSM dan BTS mencatatkan sedikit penurunan, TH Plantations berjaya menambah baik keuntungan melalui strategi penambahbaikan operasi berteraskan pendekatan tertentu," katanya.
Kata kumpulan perladangan berkenaan, usaha tersebut termasuk peningkatan kecekapan pemulihan hasil dan pengukuhan kutipan buah lerai tanpa diperlukan perbelanjaan modal tambahan yang signifikan.
Dari segi prestasi operasi, kadar perahan minyak (OER) meningkat kepada 19.40% berbanding 18.99% pada tahun sebelumnya, manakala kadar perahan isirung (KER) naik kepada 4.79% daripada 4.47%.
Situasi positif tersebut jelas TH Plantations, mencerminkan tahap kecekapan kilang kumpulan itu dan kawalan proses yang lebih baik, sehingga berupaya menambah hasil perahan komoditi berkenaan.
"Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, hasil naik kira-kira 2.78% kepada RM302.53 juta, manakala PBT bertambah 7.88% kepada RM70.45 juta berbanding tempoh sama tahun lalu," jelasnya.
Keuntungan operasi melonjak 29.35% kepada RM115.81 juta, dan bagi FY26, Lembaga Pengarah menjangka prestasi kewangan masih kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Selain itu, TH Plantations sedia berdepan turun naik harga komoditi, dengan tumpuan berterusan terhadap peningkatan hasil, pengoptimuman kos, pematuhan kelestarian dan pengurusan modal berhemat. - DagangNews.com








