KUALA LUMPUR 10 Feb - Kereta sedan Proton S70 harus menjadi model yang dipertimbangkan oleh kerajaan untuk menjadi kenderaan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia sama ada untuk menambah kereta peronda sedia ada atau menjadi pengganti memandangkan PDRM mempunyai banyak kenderaan yang sudah usang.
Kemasukan model sedan baharu Proton ini juga dapat meningkatkan imej pasukan tersebut.
Menurut penulis laman web automotif, Shawkath Azde, pemilihan S70 sebagai kereta operasi pihak berkuasa akan memberi kesan kepada industri automotif tempatan.


“Pembelian S70 boleh membantu Proton kembali menjadi jenama aset nombor satu PDRM dan agensi penguat kuasa lain dalam tugasan rasmi, rondaan dan penguatkuasaan.
“Kereta sedan segmen C itu menggunakan enjin 3-silinder sebaris dengan pengecas turbo bersama transmisi DCT sudah ada dos yang diperlukan untuk menyempurnakan tugas-tugas penguatkuasaan,” ujarnya kepada Dagang News.
Pada Khamis lalu, Proton membuat serahan sebuah sedan S70 kepada PDRM sebagai kereta peronda petugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Tanjung Malim, Perak.
Kereta berkenaan disampaikan oleh ahli lembaga pengarahnya, Ahmad Jauhari Yahya serta disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.
Serahan itu dibuat selepas majlis pecah tanah pembinaan kilang kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton di Tanjung Malim.


Difahamkan, kereta sedan S70 itu dipinjamkan Proton untuk kegunaan IPD Muallim bagi tempoh tertentu.
Kereta varian ‘flagship’ tanpa bumbung suria itu lengkap mengikut corak warna kereta peronda PDRM termasuk lampu strob dan siren polis di atas bumbung.
Mengulas lanjut kata Shawkath, sebagai syarikat automotif nasional, Proton terlibat dalam aktiviti pembuatan dan pemasangan tempatan (CKD).
Katanya, ini menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan selain peluang untuk pembekal atau vendor tempatan menjalankan bisnes secara berterusan.
“Pelaburan yang dibuat Proton bukannya sedikit, justeru sokongan terhadap industri automotif tempatan ini akan memberi sumbangan kembali kepada ekonomi Malaysia dan rakyat sendiri.


“Justeru, penggunaan Proton S70 sebagai aset PDRM sudah tentu akan melonjakkan lagi kepercayaan pengguna Malaysia dan orang luar terhadap jenama nasional Proton,” ujarnya.
PDRM sejak Jun 2020 menggunakan model Honda Civic 1.8L sebagai kereta peronda polis baharu yang dilengkapi peralatan komunikasi, dua unit kamera pemuka (dashcam) dan kamera perakam digital (DVR).
Selain itu, pasukan ini turut menggunakan kereta Honda City dan Proton Persona berwarna kelabu sebagai kenderaan untuk pegawai penyiasat.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 pula digunakan sebagai kereta rasmi pegawai kanan manakala sebahagiannya untuk tugas penguatkuasaan. - DagangNews.com








