KUALA LUMPUR 26 Feb – HI Mobility Berhad memperoleh kelulusan majoriti besar daripada pemegang sahamnya bagi cadangan pengambilalihan strategik dua syarikat yang berharga RM82.5 juta.
Seramai 73 menyokong usul berkenaan manakala hanya seorang yang menentang, sekali gus membuka laluan kepada kumpulan memperluaskan perniagaan dalam rantaian nilai kenderaan komersial.
Kelulusan itu diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di ibu negara hari ini, melibatkan resolusi pengambilalihan 100% ekuiti dalam Acacia Motor Services Sdn Bhd dan Handal BCM Sdn Bhd.
"Urus niaga ini akan dipenuhi menerusi penerbitan 34.4 juta saham baharu HI Mobility pada harga RM2.40 sesaham mewakili 6.4% daripada modal saham diperbesarkan," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, pemegang saham turut menyetujui cadangan kepelbagaian aktiviti utama syarikat dalam pembuatan, pemasangan, pengedaran, penjualan, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan komersial.
Langkah strategik ini meletakkan kumpulan sebagai penyedia rumusan bersepadu sepenuhnya dalam rantaian nilai kenderaan komersial, sejajar komitmen Malaysia terhadap perolehan bas elektrik.
Gabungan keupayaan pemasangan dan perkhidmatan selepas jualan Acacia bersama rangkaian pengedaran kukuh Handal BCM dijangka meningkatkan daya saing serta menyokong pertumbuhan secara cekap modal.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen berkata, Acacia ketika ini sudah berjaya mempunyai tempahan terjamin sebanyak 298 buah bas.
"Kesemuanya dijadualkan untuk penghantaran menjelang tempoh suku ketiga pada tahun ini, sekali gus memperkukuhkan lagi keterlihatan pendapatan kumpulan dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV).
Kumpulan itu yang disenaraikan pada Mac 2025, kini memiliki 813 buah bas setakat 31 Januari 2026, termasuk 65 jenis elektrik, selaras inisiatif mobiliti hijau dan peluasan rumusan pintar. - DagangNews.com








