KUALA LUMPUR 27 Feb - Pembinaan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) yang terletak di Ladang Pasir Logok, Johor oleh Johor Plantations Group Bhd (JPG) akan bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi di Sedili, membawa peluang pelaburan dan ekonomi kepada daerah dan masyarakat setempat.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, projek itu dijangka menjana 250 peluang pekerjaan langsung, dengan tumpuan khusus bagi membangunkan bakat tempatan serta menggandakan kesan untuk peluang pekerjaan lain yang wujud daripada iSPOC.
Beliau berkata, inisiatif di bawah iSPOC akan meningkatkan pengekalan bakat tempatan, memacu penyelidikan dan pembangunan melalui Pusat Kecemerlangan dan membangunkan industri utama seperti pengeluaran makanan dan teknologi hijau.
Kompleks itu juga akan membina kejayaan Program Penyertaan Pekebun Kecil JPG, yang kini memberi manfaat kepada 289 pekebun kecil di Johor, dengan menambah baik akses kepada pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan peluang pasaran.
"iSPOC menandakan detik penentuan dalam transformasi JPG. Dengan menyepadukan kemampanan dan inovasi, kami mengukuhkan perniagaan, menetapkan penanda aras industri dan memacu nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan.
"Ia juga merangkumi komitmen kami untuk menghasilkan keperluan yang mampan untuk manusia, memperkasakan komuniti dan mengukuhkan kepimpinan Johor dalam perniagaan beasaskan tani," katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pecah tanah kompleks itu, hari ini.

Majlis pecah tanah itu menandakan misi JPG untuk menjadi syarikat minyak sawit bersepadu generasi akan datang, mengukuhkan komitmennya terhadap kemampanan, inovasi dan pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab.
Kompleks bersepadu tercanggih itu menempatkan kilang penapisan minyak dan lemak khusus, kilang minyak sawit, kilang isirung sawit, kilang makanan haiwan dan pusat penyelidikan dan pembangunan.
iSPOC menyerlah sebagai kemudahan pertama seumpamanya yang menerima sepenuhnya model ekonomi pusingan. Ia memaksimumkan penggunaan sumber dengan menjana tenaga boleh diperbaharui daripada biojisim dan biogas yang dihasilkan sebagai hasil sampingan kilang kelapa sawit.
Pendekatan inovatif ini sejajar dengan matlamat JPG untuk pengurangan pelepasan karbon dan juga mengukuhkan komitmen Johor yang lebih luas terhadap amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab.
Melalui usaha sama dengan Fuji Oil Asia Pte. Ltd. (Fuji Oil), JPG Fuji Sdn Bhd (JPG Fuji) telah ditubuhkan untuk membangunkan kilang penapisan, dengan JPG memegang 51% kepentingan dan Fuji Oil baki 49%.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, iSPOC akan memainkan peranan penting dengan memacu penciptaan pekerjaan, merangsang aktiviti ekonomi, dan memupuk tenaga kerja mahir untuk menyokong pertumbuhan perindustrian Johor.
"Projek ini menunjukkan kepimpinan JPG dalam minyak sawit mampan dan menyokong wawasan negara untuk ekonomi baharu.
"Kami mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Johor Corporation dan JPG kerana membangunkan projek penting untuk mengukuhkan ekonomi Johor dan memacu pertumbuhan dan pembangunan jangka panjangnya," katanya. - DagangNews.com








