Pembelian unit penyejukan cekap tenaga Malakoff oleh KJTS dilihat positif, penganalisis jangka hasil kumpulan naik 33% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian unit penyejukan cekap tenaga Malakoff oleh KJTS dilihat positif, penganalisis jangka hasil kumpulan naik 33%

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Cadangan pemerolehan unit penyejukan cekap tenaga, Malakoff Corp Bhd  oleh KJTS Group Bhd baru-baru ini boleh meningkatkan pendapatan FY25 dan FY26 kumpulan masing-masing sebanyak 18% dan 33%, kata CIMB Securities.

 

KJTS pada hari Isnin bercadang untuk mengambil alih keseluruhan pegangan ekuiti dalam anak syarikat milik 100% Malakoff Corp Bhd, Malakoff Utilities Sdn Bhd dengan wang tunai RM65.5 juta.

 

CIMB Securities berkata, cadangan itu "menarik", berdasarkan kerjasama strategik yang dijangka antara kedua-dua syarikat.

 

"Perjanjian itu akan membantu KJTS mengembangkan perniagaan perkhidmatan pengurusan tenaga penyejuk (CEMS) di Malaysia dengan ketara.

 

"Kami menaikkan anggaran ramalan keuntungan bersih FY2025 dan FY2026 masing-masing sebanyak 18.2% dan 33.5%, mencerminkan sumbangan pendapatan daripada Malakoff Utilities.

 

“Oleh itu, harga sasaran (TP) kami dinaikkan kepada RM1.30, berdasarkan 22 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2026,” katanya. 

 

Sementara itu, TA Securities berkata, Malakoff mendapat "tawaran yang baik" daripada urus niaga itu, dengan potensi untuk mengiktiraf keuntungan sekali sahaja, bergantung pada nilai bawaan terkini aset tersebut.

 

Tambahan pula, memandangkan Malakoff Utilities mencatatkan pulangan atas ekuiti (ROE) hanya 1.9%-2.7% berdasarkan data kewangan dari FY21 hingga FY23, TA Securities berpendapat Malakoff akan menggunakan semula modalnya ke dalam usaha niaga yang lebih menguntungkan.

 

Dalam nota kajian berasingan, Apex Securities menilai harga pelupusan sebagai "adil", mencerminkan hasil tujuh kali berdasarkan nombor teraudit FY2323 Malakoff Utilities. 

 

"Urus niaga itu dijangka memberi kesan positif ke atas kunci kira-kira Malakoff, dengan nisbah penggearan bersihnya dijangka meningkat sedikit daripada 1.23 kali pada suku ketiga FY24 (3QFY24), kepada 1.22 kali selepas urus niaga," katanya.

 

Pengambilalihan Malakoff Utilities oleh KJTS dijangka selesai pada suku kedua 2025.

 

Hong Leong Investment Bank telah dilantik sebagai penasihat utama KJTS untuk kedua-dua cadangan. - DagangNews.com