Pembangunan industri REE masih perlahan, kerajaan digesa nyahsenarai sementara hutan simpan kekal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan industri REE masih perlahan, kerajaan digesa nyahsenarai sementara hutan simpan kekal

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt –  Kerajaan perlu merangka dasar yang lebih fleksibel bagi mempercepatkan  pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) yang kini menjadi pemacu utama ekonomi hijau masa depan.

 


Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, walaupun industri REE diiktiraf sebagai sektor strategik negara, pelaksanaannya dilihat masih perlahan. 

 

Beliau berkata, ia disebabkan kekangan dasar yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal (HSK).

 

“Sebahagian besar taburan REE terletak dalam kawasan hutan simpan, termasuk di Terengganu yang memiliki lebih 40% deposit REE negara. 

 

“Namun, sebenarnya aktiviti perlombongan boleh dijalankan secara terkawal dan lestari mengikut garis panduan teknikal yang telah diluluskan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Parlimen.

 

 

t
Datuk Ahmad Amzad Hashim

 

Beliau memberikan contoh kejayaan projek perintis in-situ leaching di Kenering, Hulu Perak yang membuktikan perlombongan REE boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan ekosistem hutan.

 

“Selepas dua tahun, projek perintis itu menunjukkan tiada kemusnahan hutan. Kaedah ini selamat dan terbukti berkesan. 

 

“Oleh itu, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah nyahsenarai sementara (temporary degazement) kawasan hutan simpan yang mempunyai potensi REE dengan syarat kawalan ketat, penilaian impak alam sekitar menyeluruh dan pelan pemulihan hutan selepas penerokaan,” katanya.

 

Dalam masa sama, beliau menegaskan hak negeri sebagai pengeluar sumber perlu dihormati dan diberikan faedah setimpal dengan sumbangan mereka kepada negara.

 

“Jangan biarkan pengalaman royalti petroleum berulang, apabila negeri pengeluar bergantung kepada pusat untuk saluran royalti hingga manfaat langsung kepada rakyat negeri terjejas,” katanya.

 

Tambahnya, pendekatan lebih progresif terhadap industri REE bukan sahaja mampu menjana hasil baharu kepada negara, malah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan mineral hijau global.

 

t
Pelabuhan Kemaman

 

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan agar menubuhkan pasukan pengurusan khas untuk Lembaga Pelabuhan Kemaman kerana ia memiliki potensi besar sebagai pelabuhan laut dalam untuk industri tenaga, mineral, minyak dan gas, serta sektor maritim hijau.

 

“Namun, ketika ini ia masih berkongsi pengurusan dengan Lembaga Pelabuhan Kuantan, menyebabkan strategi, tumpuan dan pelaburan tidak optimum.

 

“Penubuhan pengurusan sendiri bagi Pelabuhan Kemaman serta penyediaan dana khas untuk menaik taraf kemudahan pelabuhan, termasuk benteng pemecah ombak dan kemudahan logistik perlu dilaksanakan. 

 

“Langkah ini dilihat mampu menarik pelaburan berimpak tinggi, menjadikan Kemaman Maritime Industrial Hub sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu Pantai Timur di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur sambil meningkatkan sumbangan pelabuhan kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.

 

Selain itu, pengurusan sendiri akan membolehkan pelabuhan ini memanfaatkan sepenuhnya keupayaan laut dalamnya untuk aktiviti eksport, import dan maritim hijau. - DagangNews.com