Pelaburan sektor perkilangan diluluskan di Kelantan mencecah RM1.7 bilion - data MIDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan sektor perkilangan diluluskan di Kelantan mencecah RM1.7 bilion - data MIDA

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov – Kelantan mencatat pelaburan yang memberangsangkan sepanjang tahun 2024 terutama bagi sektor perkilangan apabila menerima pelaburan bernilai RM1.7 bilion.

 

Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan perkilangan yang diluluskan itu meningkat 90.2% berbanding RM0.2 bilion pada 2023.

 

Pencapaian itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan “Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat” pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu hari ini.

 

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, RM1.2 bilion adalah pelaburan perkilangan domestik manakala pelaburan perkilangan asing mencatat RM492.8 juta.

 

“Semua data ini menunjukkan ekonomi Kelantan adalah teguh dan stabil. 

 

“Kerajaan negeri yakin pada tahun 2026 nanti, Kelantan boleh memacu peningkatan ekonomi serta berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

 

Pada tahun 2024, Kelantan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.6%, meningkat berbanding 2.6% pada tahun sebelumnya dengan nilai ekonomi negeri mencapai RM28.7 bilion berbanding RM27.7 bilion pada 2023. 

 

Beliau berkata, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Kelantan, memberikan sumbangan sebanyak 71.7%. 

 

“Aktiviti dalam sub sektor perkhidmatan kerajaan, perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, serta penginapan dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor ini. 

 

“Sementara itu, sektor pertanian, yang merupakan penyumbang kedua terbesar, menunjukkan pemulihan kepada 2.8% berbanding penguncupan 1.6% pada 2023,” katanya.

 

Sektor pembuatan pula menyumbang 4.5% kepada ekonomi negeri, manakala sektor pembinaan mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 20.7% dengan sumbangan keseluruhan sebanyak 2% manakala sektor perlombongan dan kuari pula menyumbang 1.6%. - DagangNews.com