KUALA LUMPUR 5 Jun — Penyedia rumusan juruteraan bersepadu, Oxford Innotech Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Firma itu akan menaja jamin 143.5 juta saham, terdiri 35.5 juta saham diperuntukkan untuk langganan orang awam Malaysia manakala 27.0 juta saham kepada beberapa pengarah yang layak, pekerja dan individu tertentu.
Baki sebanyak 81.0 juta saham baharu itu akan ditawarkan pula melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sendiri.
Pelaksanaan IPO itu meliputi kira-kira 20.2 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan sebanyak 50.0 juta saham sedia ada, mewakili 7.0 peratus daripada modal saham diperbesarkan.
Pengarah Urusan Oxford Innotech, Ng Thean Gin berkata, pemeteraian tersebut merupakan langkah penting ke arah penyenaraian syarikat beribu pejabat di Pulau Pinang itu dalam dagangan bursa menjelang suku ketiga tahun ini.
“Kami sedang mengembangkan kapasiti pengeluaran dan keupayaan untuk memenuhi permintaan semakin meningkat bagi rumusan kejuruteraan ketepatan, terutama dalam sektor semikonduktor dan sistem bangunan modular," katanya.
Kumpulan itu mengendalikan empat fasiliti pembuatan di Pulau Pinang dan Kedah dengan memberi perkhidmatan kepada sektor utama seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik, automotif serta sistem bangunan modular.
Melaka Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat kewangan korporat untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com








