KUALA LUMPUR 29 Okt – Orkim Berhad memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi cadangan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata, kelulusan SC adalah pencapaian penting bagi syarikat untuk merealisasikan visi Orkim menjadi syarikat pengangkutan marin terkemuka di Malaysia.
“Orkim mempunyai reputasi kukuh yang disokong rekod operasi yang terbukti boleh dipercayai, hubungan jangka panjang dengan syarikat tenaga utama, serta rangkaian pengedaran luas di Malaysia.
“IPO dan dana yang bakal dikumpul daripada penyenaraian ini akan membantu kami melaksanakan rancangan pengembangan armada kapal untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu.
“Dengan pasukan pengurusan berpengalaman, armada kapal baharu, serta rekod operasi dan kewangan yang terbukti, Orkim berada pada kedudukan tepat memulakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orkim dan kumpulannya terlibat dalam pemilikan, penyewaan dan operasi kapal, serta pengurusan harta pelayaran, kontrak pengangkutan dan perniagaan pengangkutan lain.
Kumpulan ini mengendalikan sebanyak 18 kapal dengan jumlah kapasiti muatan sebanyak 239,186 deadweight tonnes (DWT).
Ini termasuk 14 kapal tangki produk petroleum bersih dengan kapasiti gabungan 134,684 DWT, dua kapal tangki CPP julat sederhana dengan kapasiti gabungan 98,004 DWT dan dua kapal tangki gas petroleum cecair dengan kapasiti gabungan 6,498 DWT.
Beliau berkata, semua kapal beroperasi di bawah gabungan perjanjian sewaan, menyediakan perkhidmatan kepada syarikat minyak dan gas utama di Malaysia serta beberapa negara Asia lain termasuk Singapura, Filipina, Brunei, China dan Korea Selatan.
“Armada ini mengangkut pelbagai jenis produk petroleum bersih seperti gasolin, diesel, bahan api jet, parafin, kondensat hasil penapisan minyak mentah serta LPG termasuk propana dan butana.
“Dengan armada moden, standard pematuhan yang tinggi, dan rekod prestasi terbukti, Orkim mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dipercayai dalam industri pengangkutan marin dan bersedia untuk menghadapi fasa pertumbuhan seterusnya melalui penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








