OPR 2.75% kekal sesuai, inflasi stabil 1.3% sokong pertumbuhan ekonomi, kata BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR 2.75% kekal sesuai, inflasi stabil 1.3% sokong pertumbuhan ekonomi, kata BNM

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 14 NovBank Negara Malaysia (BNM) menegaskan kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus kekal sesuai dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, susulan persekitaran inflasi yang stabil, sambil menambah bank pusat masih memiliki ruang dasar untuk bertindak jika diperlukan.

 

Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, keputusan dasar monetari kekal berpandukan unjuran pertumbuhan dan inflasi bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

 

“Pada kadar 2.75 peratus, OPR adalah sesuai dan menyokong ekonomi memandangkan inflasi kekal stabil dan sederhana,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi KDNK suku ketiga 2025 hari ini.

 

Menurutnya, BNM mempunyai ruang dalam dasar fiskal dan monetari untuk melaksanakan langkah tambahan jika keadaan memerlukan, namun kadar semasa masih memadai selaras dengan dinamika pertumbuhan dan inflasi ketika ini.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada November mengekalkan OPR tidak berubah, dengan jangkaan permintaan domestik yang kukuh akan terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi sehingga 2026.

 

BNM menjangkakan inflasi terus berada pada tahap sederhana meskipun prospek pertumbuhan domestik masih berdepan ketidaktentuan, khususnya berkaitan perkembangan global.

 

Terdahulu, bank pusat mengumumkan inflasi keseluruhan kekal pada 1.3 peratus, manakala inflasi teras meningkat kepada dua peratus bagi suku ketiga.

 

BNM berkata, peningkatan inflasi teras telah memberikan sedikit tekanan ke atas inflasi keseluruhan, namun kesannya diseimbangkan oleh penurunan beberapa harga kawal selia.

 

Antaranya, kos elektrik dan diesel mencatat penurunan pada suku tersebut, selari dengan penstrukturan semula tarif elektrik serta tekanan kos global yang semakin reda. - DagangNews.com