OM Holdings peroleh kelulusan jual 26% kepentingan Ntsimbintle Mining kepada Exxaro Resources dari Afrika Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OM Holdings peroleh kelulusan jual 26% kepentingan Ntsimbintle Mining kepada Exxaro Resources dari Afrika Selatan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis – OM Holdings Ltd memperoleh kelulusan penting daripada pihak berkuasa dan pemegang saham bagi penjualan 26% kepentingannya dalam Ntsimbintle Mining Proprietary Ltd (NMPL) kepada Exxaro Resources Ltd yang berpangkalan di Afrika Selatan.

 

NMPL memegang 50.1% kepentingan dalam Tshipi é Ntle Manganese Mining, pengendali lombong Tshipi Borwa di Kalahari Manganese Field, Afrika Selatan, antara operasi mangan terbesar di dunia dari segi pengeluaran dan eksport mangan berkualiti tinggi. 

 

Lombong ini terletak di wilayah Northern Cape, Afrika Selatan.

 

Transaksi itu, bernilai sekitar RM449.5 juta, dilakukan melalui anak syarikat milik penuh OM Holdings iaitu OM Mauritius.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OM Holdings berkata, penjualan tersebut telah diluluskan oleh Menteri Sumber Mineral dan Tenaga Afrika Selatan dan disahkan oleh pihak berkuasa persaingan negara tersebut.

 

Pemegang saham Ntsimbintle Holdings turut memberikan kelulusan, dengan pengaturan escrow dan insurans telah disediakan.

 

Walaupun penjualan ini masih tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu dipenuhi, syarikat menjangkakan transaksi itu akan disempurnakan pada awal 2026.

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OM Holdings, Low Ngee Tong berkata, pihaknya menantikan penyempurnaan transaksi ini bagi membuka nilai daripada pelaburan jangka panjang dan memulakan fasa seterusnya bagi syarikat.

 

OM Holdings telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Exxaro pada Mei tahun ini.

 

Syarikat mempunyai kepentingan berkesan sebanyak 13% dalam lombong tersebut dan menurut laman web syarikat, ia memproses antara 3.3 juta hingga 3.6 juta tan bijih mangan setiap tahun.

 

Transaksi penstrukturan ini dijangka memberi manfaat kepada kedudukan kewangan syarikat serta memperkukuh strategi jangka panjang OM Holdings. - DagangNews.com