KUALA LUMPUR 21 Nov – NuEnergy Holdings Bhd (NHB) berjaya memperoleh dua kontrak bernilai RM56.3 juta daripada Muhibbah Solar Sdn Bhd bagi projek pembangunan loji solar berskala besar (LSSPV) berkapasiti 15MWac di Beaufort, Sabah.
Menurut NHB, kontrak pertama melibatkan surat tawaran bernilai RM16.89 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan, manakala kontrak kedua membabitkan perjanjian jual beli bahan solar bernilai RM39.41 juta untuk projek sama.
NHB berkata, projek tersebut dijadualkan siap pada suku keempat 2026, dengan pelaksanaan kerja dijangka meningkatkan kehadiran kumpulan di Malaysia Timur serta mempercepat penembusan pasaran di rantau berkenaan.
“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan, selain memperlihatkan keupayaan teknikal NHB dalam melaksanakan projek berskala besar,” menurut syarikat itu dalam kenyataan.
Menurut NHB lagi, penganugerahan kontrak tersebut turut mengukuhkan daya saingnya di pasaran serantau, sekali gus meletakkan syarikat pada kedudukan lebih kukuh untuk membida peluang baharu di seluruh Malaysia Timur. - DagangNews.com








