KUALA LUMPUR 7 Nov – Northport (Malaysia) Bhd, ahli Kumpulan MMC, terus mengekalkan momentum pertumbuhan cemerlang apabila mencatat jumlah kendalian kontena bulanan tertinggi dalam sejarah syarikat pada Oktober 2025, sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dicapai tahun lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Northport berkata jumlah kendalian keseluruhan pada Oktober 2025 mencecah 366,131 unit bersamaan dua puluh kaki (TEUs), mengatasi rekod sebelum ini sebanyak 365,558 TEUs yang dicatat pada Ogos 2024.
Pada masa yang sama, Northport turut mencatat rekod baharu bagi operasi kargo konvensional pada September lalu, dengan jumlah kendalian sebanyak 1,327,883 tan berat kargo (FWTs), melepasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 1,277,409 FWTs yang direkod pada Oktober 2024.
“Pencapaian rekod berganda dalam dua segmen utama ini mencerminkan keupayaan kami untuk terus menyediakan perkhidmatan pelabuhan yang cekap dan boleh dipercayai, sekali gus mengekalkan keyakinan pelanggan terhadap Northport,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz, dalam kenyataannya.
Beliau menambah, prestasi kukuh itu juga menandakan Northport berada di landasan tepat untuk menutup tahun 2025 dengan pencapaian memberangsangkan dalam operasi kontena dan kargo konvensional.
Bagi tempoh tahun sehingga Oktober 2025 (YTD), Northport mencatat jumlah kendalian kontena sebanyak 3.13 juta TEUs, meningkat 2.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pecahan segmen menunjukkan peningkatan 2.9% bagi kargo tempatan dan 1.5% bagi kargo transhipment, mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam perkhidmatan pelabuhan syarikat itu.
“Prestasi semasa menunjukkan potensi kukuh Northport, disokong oleh pelbagai inisiatif dan projek penambahbaikan kapasiti terminal serta kecekapan operasi yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Antara projek utama yang sedang dijalankan termasuk menaik taraf dermaga bagi membolehkan terminal menerima kapal bersaiz lebih besar, sekali gus memperkukuh daya saing Northport di peringkat serantau.
Selain itu, ketibaan empat kren dermaga baharu pada 2026 dijangka meningkatkan produktiviti serta mengoptimumkan prestasi operasi jangka panjang.
“Dengan terus berusaha mencapai kecemerlangan, kami yakin dapat mengekalkan prestasi konsisten dan memberikan perkhidmatan yang boleh diharapkan oleh pelanggan kami. Semua kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi serta semangat berpasukan warga kerja kami. Sinergi TeamNorthport membuktikan tiada cabaran yang terlalu besar apabila kita bekerja bersama untuk satu matlamat bersama,” katanya. - DagangNews.com








