Norsyahrin Hamidon diumumkan sebagai Pengerusi Theta Edge | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Norsyahrin Hamidon diumumkan sebagai Pengerusi Theta Edge

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 16 Julai – Theta Edge Bhd mengumumkan pelantikan akauntan bertauliah berpengalaman dan penasihat korporat, Norsyahrin Hamidon sebagai Pengerusi syarikat, berkuat kuasa serta-merta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia penyelesaian integrasi sistem dan penyelesaian turnkey itu berkata, Norsyahrin, 51, mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam industri kewangan meliputi pengurusan dana, penstrukturan semula korporat serta khidmat nasihat pengurusan.

 

Beliau kini merupakan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pelaburan Kumpulan Modal Perdana, sebuah firma modal teroka yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

 

Selain itu, beliau turut pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan serta Ahli Lembaga Pengarah Pelaburan MARA Bhd.

 

Pada 2022, beliau dilantik menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat Lembaga Tabung Haji.

 

Norsyahrin turut memegang beberapa jawatan sebagai penasihat dan ahli jawatankuasa di beberapa organisasi berkaitan kerajaan, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), HRD Corp, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Badan Penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri.

 

Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Poly-Tech MARA serta Pengerusi Kumpulan Kerja Teknikal Mengenai Insolvensi Perniagaan di bawah inisiatif Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

 

Dalam perkembangan sama, Theta Edge turut mengumumkan pelantikan Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif syarikat.


 

Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie
Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie

 


Megat Abdul Munir, 56, merupakan rakan pengasas firma guaman Zain Megat and Murad serta mengetuai cawangan Kuala Lumpur firma tersebut, termasuk amalan dalam bidang korporat dan komersial, undang-undang yayasan serta litigasi.

 

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang perundangan dan diiktiraf sebagai penasihat yang dipercayai oleh lembaga pengarah, pemegang saham, syarikat multinasional, syarikat tersenarai awam serta entiti berkaitan kerajaan.

 

Kepakaran beliau merangkumi urus niaga korporat, tadbir urus, litigasi, penggabungan dan pengambilalihan (M&A), pelaburan asing serta pematuhan kawal selia. - DagangNews.com