Nomura Securities ejen bursa asing kedua sertai platform syariah Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nomura Securities ejen bursa asing kedua sertai platform syariah Bursa Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 20 NovBursa Malaysia Berhad terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pelaburan patuh syariah apabila Nomura Securities Malaysia Sdn Bhd menjadi ejen bursa asing kedua yang menyertai platform pelaburan patuh syariah secara menyeluruh, Bursa Malaysia-i.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, penambahan perkhidmatan ejen bursa Islamik Nomura mencerminkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap pasaran modal Islam di Malaysia.

 

Fadl berkata, dengan penambahan ini, Bursa mengukuhkan lagi posisi Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan patuh syariah.

 

Bursa Malaysia kini mempunyai lebih 80% daripada keseluruhan sekuriti yang disenaraikan adalah patuh syariah, mewakili 66% daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia sebanyak RM2 trilion. 

 

Fad’l menegaskan, pasaran Bursa Malaysia-i bersedia memenuhi keperluan pelabur tempatan dan antarabangsa yang mencari peluang pelaburan patuh syariah.

 

Ketua Nomura Asia Tenggara, Kelvin Ho berkata, Malaysia merupakan pasaran penting bagi syarikatnya.

 

“Kami telah menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan ekuiti untuk ASEAN dan menganjurkan persidangan ASEAN kami di Kuala Lumpur setiap tahun. Perkhidmatan ejen bursa Islamik ini adalah lanjutan semula jadi bagi tawaran kami kepada pelanggan di sini,” ujarnya.

 

Perkhidmatan ejen bursa Islamik membolehkan pelabur berdagang sekuriti patuh syariah melalui tingkap Islamik khas atau ejen bursa Islamik sepenuhnya, memastikan pemisahan jelas antara transaksi Islamik dan konvensional sepanjang proses perdagangan dan pasca perdagangan.

 

Sejak diperkenalkan, bilangan Organisasi Penyertaan (PO) Bursa Malaysia yang menawarkan perkhidmatan ejen bursa Islamik terus meningkat.

 

Dengan kemasukan Nomura Securities, Bursa Malaysia-i kini mempunyai rangkaian 20 PO Islamik, memperkukuhkan ekosistem pelaburan patuh syariah di negara ini. - DagangNews.com