KUALA LUMPUR 9 Feb — Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyemak turun unjuran hasil IHH Healthcare Berhad bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 berikutan kesan pengukuhan nilai ringgit.
Menurut firma penyelidikan tersebut dalam notanya, situasi berkenaan dijangka menekan sumbangan keuntungan terutama daripada operasi kumpulan di luar negara, khususnya di Singapura dan India.
Sehubungan itu, firma tersebut menurunkan anggaran pendapatan syarikat berkenaan sebanyak 3% bagi FY25, 4.2% bagi FY26 dan 4.6% bagi FY27, untuk mencerminkan kesan pergerakan mata wang.
"Bagaimanapun, tiada pelarasan dibuat ke atas unjuran operasi IHH Healthcare di Turkiye disebabkan pergerakan ringgit berbanding lira negara itu masih berada dalam julat yang munasabah," kata HLIB.
Meskipun semakan penurunan dibuat, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM10, berikutan asas penilaian daripada FY26 kepada FY27.
Tambahnya, unjuran tersebut wajar memandangkan potensi penarafan semula sektor penjagaan kesihatan susulan jangkaan penyenaraian Sunway Healthcare Holdings pada tempoh suku pertama tahun depan.
Selain itu jelas HLIB, kemungkinan aliran masuk dana asing ke dalam IHH Healthcare seiring dengan pengukuhan ringgit dan pegangan asing yang kini berada pada paras terendah sejak Disember 2019.
“Ia kekal disokong oleh prospek pertumbuhan organik dan bukan organik yang positif, serta kedudukan strategiknya untuk memanfaatkan 'megatrend' ekonomi perak, khususnya penuaan populasi,” katanya lagi.
Firma penyelidikan itu turut menekankan kekuatan Pantai Hospital Kuala Lumpur sebagai antara peneraju rawatan kanser swasta, dengan penggunaan teknologi perubatan yang canggih di pusat onkologinya.
Walaupun ujian klinikal tidak menjana hasil secara langsung, HLIB berpandangan penyertaan dalam kajian sedemikian meningkatkan reputasi hospital, terutamanya melibatkan jurnal doktor yang disiarkan.
Jelasnya, penemuan pusat itu kerap diterbitkan dalam makalah perubatan antarabangsa berprestij, sekali gus mengukuhkan lagi sinergi dalam rangkaian IHH Healthcare di pasaran Malaysia sendiri.
"Pantai Hospital Kuala Lumpur merancang memanfaatkan sistem dalaman bagi memperluas penyertaan ujian klinikal ke pusat perubatan lain, sekali gus menaikkan imej kumpulan," katanya. - DagangNews.com








