KUALA LUMPUR 24 Nov – NexG Berhad memaklumkan pengurusan syarikat itu tidak menerima sebarang makluman rasmi berhubung dakwaan pembelian 25% pegangan saham dalam syarikat seperti yang dilaporkan dalam satu artikel baru-baru ini.
NexG berkata, pihaknya belum menerima sebarang “notice of interest” daripada mana-mana pihak yang menunjukkan kemunculan sebagai pemegang saham besar baharu, sebagaimana yang diwajibkan di bawah Seksyen 137 Akta Syarikat 2016.
“NexG kekal komited terhadap standard tadbir urus korporat, ketelusan dan akauntabiliti yang tertinggi.
“Lembaga dan pengurusan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif strategik Kumpulan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat itu turut menegaskan fokusnya adalah untuk memenuhi semua komitmen yang dipersetujui dengan Kerajaan, selaras dengan mandat dan tanggungjawabnya sebagai penyedia perkhidmatan.
Pada Jumaat lalu, sebuah portal berita asing melaporkan kemungkinan NexG Berhad menerima kemasukan pemegang saham besar baharu, iaitu seorang ahli perniagaan yang dikatakan akan memiliki 25% pegangan dalam syarikat itu.
Laporan tersebut yang memetik sumber berkata, sekiranya perkara itu terjadi, ahli perniagaan itu akan menjadi pemegang saham terbesar NexG.
Namun, setakat ini, tiada sebarang pendedahan rasmi dibuat kepada Bursa Malaysia berhubung pemilikan tersebut.
Pada 17 November 2025, NexG menjelaskan dua eksekutif kanannya, bekas Ketua Pegawai Operasi (COO), Victor Chin Boon Long dan bekas Ketua Pegawai Strategi (CSO), Jorrine Ang Pei Gaik telah meninggalkan kumpulan tersebut berkuat kuasa 30 September 2025.
Menurut NexG, kedua-dua individu berkenaan tidak lagi memegang sebarang jawatan atau peranan dalam NexG Berhad mahupun mana-mana anak syarikatnya. - DagangNews.com








