NewParadigm Securities tawar perkhidmatan broker saham patuh syariah di Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NewParadigm Securities tawar perkhidmatan broker saham patuh syariah di Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Bursa Malaysia Berhad menyenaraikan NewParadigm Securities Sdn Bhd sebagai Organisasi Peserta Islam (PO Islam) terbaharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran modal Islam.

 

Langkah itu menandakan komitmen berterusan Bursa Malaysia dalam memperluas penyertaan firma tempatan bagi menyokong pembangunan rumusan kewangan yang adil, mampan dan berasaskan prinsip Islam.

 

Ditubuhkan sejak 2004, NewParadigm mempunyai rekod kukuh dalam industri broker saham tempatan dan kini memulakan perkhidmatan broker saham Islam sepenuhnya berkuat kuasa hari ini — menambah satu lagi dimensi penting kepada landskap pelaburan patuh syariah negara.

 

Perkhidmatan broker saham Islam membolehkan pelabur berdagang dalam sekuriti yang diluluskan syariah, sama ada melalui ‘Islamic window’ atau broker Islam sepenuhnya, dengan memastikan pemisahan jelas antara urus niaga Islam dan konvensional di semua peringkat perdagangan serta pasca perdagangan.

 

Platform Bursa Malaysia-i, yang dilancarkan pada 2016, merupakan platform pelaburan dan dagangan patuh syariah pertama di dunia yang lengkap hujung ke hujung. Ia menyediakan pelbagai instrumen pelaburan berstruktur syariah, disokong oleh infrastruktur yang telus, kukuh dan selamat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelantikan NewParadigm sejajar dengan matlamat Bursa Malaysia untuk membangunkan pasaran modal yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

 

“Dengan lebih 80% sekuriti di Bursa Malaysia kini patuh syariah, peluasan rangkaian perkhidmatan broker saham Islam akan meningkatkan akses dan membolehkan lebih ramai pelabur menyertai pelaburan beretika.

 

"Pencapaian ini mengukuhkan usaha kami untuk memperdalam kecairan pasaran, menjana nilai jangka panjang dan menyokong pembentukan kekayaan yang mampan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NewParadigm, Charanjeev Singh berkata, kelulusan untuk beroperasi sebagai PO Islam menandakan langkah penting dalam perjalanan firma itu untuk menyumbang kepada landskap kewangan Islam Malaysia.

 

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memajukan industri kewangan Islam Malaysia dan menyediakan peluang pelaburan patuh syariah yang berkualiti tinggi,” katanya.- DagangNews.com