Mynews untung bersih RM19 juta bagi FY25 didorong pembukaan 88 cawangan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mynews untung bersih RM19 juta bagi FY25 didorong pembukaan 88 cawangan baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Feb - Mynews Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM19.09 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025, naik lebih dua kali ganda berbanding RM8.71 juta pada FY24. 


Menurut kumpulan itu, peningkatan prestasi ini didorong terutamanya oleh pembukaan banyak cawangan baharu, campuran produk yang lebih kukuh serta prestasi jualan dalam kedai yang dipertingkatkan.


Kumpulan peruncitan berkenaan melaporkan perolehan berjumlah RM878.46 juta, meningkat kira-kira 9.2% atau sebanyak RM74.26 juta berbanding hanya RM804.20 juta pada tahun kewangan yang sebelumnya.


"Margin keuntungan kasar meningkat kepada 38.3% berbanding 37.6% pada FY24, disebabkan campuran jualan di kedai yang lebih baik," tambah Mynews dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Justeru, Lembaga Pengarahnya mengisytiharkan dua dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun tersebut adalah 1.0 sen sesaham.


Sejumlah 88 cawangan baharu dibuka dalam tempoh setahun, menjadikan bilangan keseluruhan rangkaian kedai sebanyak 702 outlet meliputi jenama myNEWS, SUPERVALUE, CU, WHSmith dan kafe Maru Coffee.


Hab Makanan Jepun (JFH) milik kumpulan ini terus menjadi kelebihan daya saing dengan membekalkan makanan sedia dimakan (RTE) yang segar dan produk bakeri secara terus ke cawangan-cawangan runcit.


"Melangkah ke tahun kewangan 2026, Mynews menyatakan komitmen serius untuk meneruskan strategi pengembangan runcit yang lebih agresif bagi mengukuhkan kehadiran dalam pasaran," tambahnya. 


Kumpulan itu juga katanya, dijangka meraih manfaat daripada peningkatan trafik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) terutamanya di kawasan tumpuan pelawat. - DagangNews.com