Mydin sasar lebih RM3 bilion jualan produk beku sepanjang tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mydin sasar lebih RM3 bilion jualan produk beku sepanjang tahun ini

BERNAMA
Oleh Amree Ahmad

KOTA BHARU 10 Feb – Rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Berhad menyasarkan perolehan besar yang mencecah RM3.2 bilion hasil daripada jualan pelbagai produk sejuk beku sepanjang tahun ini.
 

Pengarah Eksekutifnya, Salim Mydin berkata, sasaran positif itu boleh dicapai memandangkan hasil jualan produk sejuk beku meningkat kepada sebanyak RM3.03 ​​bilion pada tahun lepas berbanding cuma RM3.0 bilion pada 2023 lalu.
 

“Peningkatan hasil jualan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti aktiviti anjuran kerajaan menerusi siri Program Jualan Rahmah Madani dan promosi produk usahawan tempatan yang meliputi pakaian, makanan dan sebagainya.
 

“Selain itu, kami meningkatkan kemudahan untuk pelanggan melalui aplikasi Mydin Online, Mydin Pay, Mydin Rewards dan TikTok selaras dengan perkembangan trend semasa,” kata beliau yang dilaporkan Bernama baru-baru ini.
 

Salim berkata, Mydin terus akan menjadi pemacu utama industri peruncitan halal di Malaysia selama hampir 68 tahun walaupun menerima saingan hebat daripada pelbagai pasar raya baharu, yang turut berkembang dalam jumlah besar.


“Persaingan sihat dalam pasaran ini sebenarnya adalah baik dari sudut ekonomi tempatan, dan ini membolehkan kami untuk kena lebih aktif dan terus berusaha keras meningkatkan lagi jualan demi kepentingan negara,” katanya.
 

Beliau berkata Mydin yang kini ada 69 cawangan membabitkan tujuh format perniagaan turut bercadang menambah tiga lagi cawangan pada tahun ini iaitu di Kulim, Kedah; Dungun, Terengganu dan Pasir Mas, Kelantan. - DagangNews.com