Mustakim Mohamad dilantik sebagai Pengarah Urusan, CEO Lembaga Tabung Haji | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mustakim Mohamad dilantik sebagai Pengarah Urusan, CEO Lembaga Tabung Haji

Gambar/FB Tabung Haji
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 April - Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji yang baharu, berkuat kuasa 6 Mei 2025.

 

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

 

Tambahnya, ia juga selari dengan falsafah TH untuk terus menerajui kecemerlangan dalam semua aspek demi manfaat para pendeposit.

 

"Ini termasuk mengurus cabaran operasi dalam pasaran global yang tidak stabil serta peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti penerbangan, penginapan dan perubatan.

 

"Pemilihan kepimpinan yang berwibawa sangat penting kerana TH mengurus amanah yang besar," menurut kenyataan itu.  

 

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memaklumkan, pelantikan Mustakim dibuat berdasarkan pengalaman serta keupayaan beliau dalam memimpin wawasan TH ke peringkat yang lebih tinggi.

 

"Perjalanan kerjaya Mustakim di TH mencecah hampir 20 tahun dan merangkumi pelbagai peranan kepimpinan dalam bidang kewangan, pelaburan, perkhidmatan deposit, operasi, teknologi maklumat serta keselamatan," ujarnya.

 

Mustakim memiliki Ijazah Sarjana dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia dalam jurusan kewangan serta merupakan ahli Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA). - DagangNews.com