KUALA LUMPUR 23 Jan - Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bekerjasama dengan Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) untuk bersama-sama membangunkan Ipoh Sentral, projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.25 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengurusan hartanah dan pembinaan itu berkata, syarikat milik penuhnya, Country Annexe Sdn Bhd memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan ISSB.
Katanya, kerjasama itu menyasar untuk meningkatkan kualiti hidup komuniti dengan menyedikan perumahan mampu milik, hotel, komersial, kawasan hijau dan institusi pendidikan.
ISSB ialah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh Railway Assets Holding Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Railway Assets Corporation dan Silver Smart Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
MOA dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih dan pendapatan MRCB dan kumpulannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
MRCB juga sedang membangunkan semula KL Sentral, yang dilaporkan menelan kos belanja lebih RM1 bilion dan akan ditanggung oleh MRCB di bawah unit perkongsian awam-swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Pembangunan TOD lain oleh MRCB termasuk PJ Sentral dan Kwasa Sentral.- DagangNews.com








