Momentum pertumbuhan Coraza dijangka terus kukuh, RHB Research kekalkan saranan beli dengan harga sasaran RM0.83 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Momentum pertumbuhan Coraza dijangka terus kukuh, RHB Research kekalkan saranan beli dengan harga sasaran RM0.83

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Nov – Coraza Integrated Technology Berhad  dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh selepas pemulihan hasil yang signifikan pada sembilan bulan pertama 2025 (9MFY2025), disokong permintaan yang meningkat dalam industri semikonduktor, aeroangkasa dan peranti perubatan, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Beli bagi saham Coraza dengan harga sasaran baharu RM0.83, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 56% daripada harga pasaran semasa RM0.53. 

 

RHB Research berkata, keputusan 9MFY25 syarikat menunjukkan keuntungan teras sebanyak RM10.5 juta, meningkat dengan ketara berbanding RM0.2 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

“Walaupun prestasi itu sedikit di bawah jangkaan RHB kerana perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, pertumbuhan jualan yang kukuh sebanyak 61% peratus YoY dan leverage operasi yang lebih baik telah mendorong pertumbuhan keuntungan dengan sangat cepat.

 

“Prestasi suku ketiga 2025 (3QFY25) turut menunjukkan tanda pemulihan yang berterusan apabila pendapatan meningkat 25.5% YoY kepada RM39.9 juta walaupun nilai mata wang AS Dolar lebih lemah,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Peningkatan ini disokong oleh pesanan kukuh daripada pengeluar peralatan semikonduktor front-end dan back-end serta sektor instrumentasi.

 

Keuntungan teras Coraza meningkat 55% YoY kepada MYR2.9 juta. Bahagian fabrikasi logam dan kejuruteraan mesin berketepatan tinggi juga mencatat pertumbuhan dua digit YoY yang kukuh.

 

RHB berkata, penurunan QoQ, terutamanya dalam segmen kejuruteraan mesin berketepatan tinggi menyebabkan pendapatan dan keuntungan teras masing-masing merosot 6% dan 27%.

 

t

 

“Namun, ini disebabkan oleh penimbunan inventori sementara oleh beberapa pelanggan semikonduktor dan bukannya kelemahan permintaan sebenar.

 

“Prospek Coraza dijangka terus positif dengan industry semikonduktor berada dalam kitaran menaik,” kata firma tersebut.

 

Ketika ini, Coraza memiliki pesanan  berjumlah RM80 juta yang akan disokong oleh penambahan ruang lantai dan pengoperasian kilang P3 baharu. 

 

Sektor aeroangkasa dijangka meningkat apabila pengeluaran besar-besaran bermula bagi pelbagai bahagian baharu, manakala permintaan untuk segmen sains hayat dan peranti perubatan kekal stabil. 

 

RHB menurunkan anggaran keuntungan FY25-FY26 masing-masing sebanyak 14.7% dan 8.5% dengan mengambil kira margin lebih rendah, tetapi mengekalkan anggaran FY27F. Harga sasaran dinaikkan berdasarkan penilaian FY26F dengan multiple P/E 20x, termasuk diskaun ESG sebanyak 4%.

 

Dari segi kewangan, Coraza mencatat margin kasar 28% pada 9M25, peningkatan 9.6 mata peratus YoY disokong oleh ekonomi skala daripada pemulihan jualan yang kukuh. 

 

RHB Research berkata, pendapatan FY25F Coraza dijangka meningkat kepada RM158.5 juta dengan keuntungan bersih berulang sebanyak RM14.8 juta dan EPS berulang 3 sen. 

 

“Syarikat kekal sebagai syarikat bersih tunai dengan nisbah hutang bersih/ekuiti sifar,” katanya.

 

Walaupun Coraza menunjukkan momentum pertumbuhan yang kuat, RHB Research mengingatkan pelabur tentang risiko yang wujud termasuk pemulihan sektor semikonduktor yang lebih perlahan daripada jangkaan, projek yang dihentikan, kekurangan tenaga kerja dan turun naik kadar pertukaran asing. 

 

Dengan struktur operasi yang kukuh, portfolio pelanggan yang pelbagai dan pesanan yang signifikan, Coraza dijangka terus menikmati pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang, menjadikannya satu pelaburan menarik dalam sektor perkhidmatan kejuruteraan bersepadu dan fabrikasi logam di Malaysia. - DagangNews.com