Mohammad Azlan letak jawatan lembaga Prolintas Managers, Malik Parvez dilantik semula sebagai Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mohammad Azlan letak jawatan lembaga Prolintas Managers, Malik Parvez dilantik semula sebagai Pengarah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb - Prolintas Infra Business Trust (Prolintas) berkata, Datuk Mohammad Azlan Abdullah telah melepaskan peranan sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif daripada pengurus pemegang amanahnya, Prolintas Managers Sdn Bhd.


 

Alasan yang dikemukakan beliau untuk perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan komitmen peribadi lain, menurut laporan pemfailan syarikat itu kepada Bursa Malaysia.


 

Dalam perkembangan berasingan, Prolintas Managers telah melantik semula Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Malik Parvez Ahmad Nazir Ahmad sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.


 

Beliau dilaporkan bakal berkhidmat dalam jawatankuasa risiko, pencalonan dan imbuhan pengurus amanah.


 

Bagaimanapun, sementara menunggu pelantikan CEO baharu, Prolintas Managers berkata, lembaga itu telah ‘membincang dan memutuskan bahawa pasukan pengurusan eksekutif interim’ akan dibentuk.


 

Ia diketuai oleh Pengerusi Bukan Eksekutifnya Datuk Ikmal Hijaz Hashim yang ‘akan kekal berkesan untuk memastikan pengurusan Prolintas Infra Business Trust terus bergerak lancar’.


 

Menurut laman sesawang Prolintas, Mohammad Azlan memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan kepada syarikat Prolintas.


 

Pada bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa dua staf kanan Prolintas, iaitu Ketua Pegawai Operasi, Rostam Shahrif Tami dan Pengurus Projek, Zairulnizam Rohani, atas kesalahan berkaitan rasuah.


 

Rostam didakwa atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM70,000 untuk menganugerahkan pakej kerja lebuh raya SUKE namun dia mengaku tidak bersalah.


 

Zairulnizam pula dibicarakan pada 23 Januari lalu kerana didakwa menerima rasuah RM50,000 sebagai pertukaran untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembinaan lebuh raya dua tahun lepas.


 

Minggu lalu, Prolintas Managers dilihat ‘menjauhkan diri’ daripada isu kes rasuah dan menjelaskan bahawa dua individu yang didakwa atas tuduhan dikaitkan dengan penajanya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) sebagai tiada kaitan dengan operasi amanah perniagaan itu.


 

SPRM juga dilaporkan menahan lima individu yang memiliki sebuah syarikat dan didakwa menawarkan rasuah berkaitan projek lebuh raya.


 

Prolintas memegang 51.02% kepentingan dalam Prolintas Infra Business Trust. Prolintas sendiri dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad.


 

Unit dalam Prolintas berakhir dengan menokok satu sen atau satu peratus lebih tinggi pada 97 sen hari Isnin, yang memberikan nilai amanah itu kepada RM1.07 bilion. - DagangNews.com