MN Holdings dijangka raih lebih banyak kontrak disokong buku tender bernilai RM1.2 bilion merentasi pelbagai industri | DagangNews Skip to main content

MN Holdings dijangka raih lebih banyak kontrak disokong buku tender bernilai RM1.2 bilion merentasi pelbagai industri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - MN Holdings dijangka terus meraih lebih banyak kontrak pada masa hadapan disokong buku tender sebanyak RM1.2 billion merentasi pelbagai industri, kata Phillip Capital.

 

Katanya, ia merangkumi kerja-kerja daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB)/ Sarawak Energy yang membentuk 74% daripada jumlah tender selain industri solar (9%), pusat data (5%), pembentung air (3%) dan lain-lain segmen (10%).

 

"Terdapat beberapa bidaan eksklusif di mana kumpulan itu memegang hak penolakan pertama dengan pelanggan utama, berpotensi menambah lagi RM150 juta pada buku tendernya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MN Holdings terima kontrak RM162.59 juta bina stesen suis utama bervoltan tinggi bagi pusat data di wilayah selatan

 

Terdahulu, kumpulan itu menerima kontrak berkaitan dengan reka bentuk, binaan dan pembinaan stesen suis utama bervoltan tinggi bagi pusat data skala besar yang terletak di wilayah selatan Malaysia.

 

Kontrak itu dijangka mula bekerja pada Disember 2024 dan ia merupakan lanjutan kepada kontrak RM7 juta yang diperoleh sebelum ini untuk memasang pencawang jenis kontena untuk pelanggan sama.

 

Firma penyelidikan itu berkata, termasuk kontrak terbaharu itu, kumpulan itu berjaya memperoleh projek berjumlah RM478 juta melebihi andaian awal sebanyak RM400 juta untuk FY25.

 

Phillip Capital menyemak naik unjuran pendapatan FY24-FY27 kumpulan antara 10% hingga 34% selepas menganggarkan penambahan buku pesanan yang lebih tinggi sebanyak RM600 juta/ RM500 juta /RM550 juta (daripada RM400 juta /RM480 juta /RM550 juta sebelumnya).

 

Mereka menyukai kumpulan itu sebagai proksi untuk infrastruktur kuasa Malaysia yang berkembang dan pendedahan strategik dalam sektor pusat data dan solar yang berkembang pesat.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM1.45 berbanding RM1.20 sesaham," katanya.- DagangNews.com