KUALA LUMPUR 14 Feb — MMAG Holdings Berhad telah berhasrat untuk memohon mempelbagaikan perkhidmatan kewangan, termasuk pinjaman wang dan pembiayaan sewa beli, di samping perniagaannya yang sedia ada.
Menerusi makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut malah mengumumkan perancangannya untuk terus berkembang ke dalam sektor penerbangan dan perkhidmatan yang berkaitan.
Cadangan itu ujarnya, sejajar dengan strategi meneroka peluang perniagaan baharu dan aliran pendapatan tambahan bagi mengukuhkan prestasi kewangan, memacu pertumbuhan, dan meningkatkan nilai pemegang saham.
"Langkah ini bakal menyediakan pendapatan tambahan serta memberi petanda baik masa depan untuk struktur keseluruhan perniagaan sedia ada kami serta mengurangkan kebergantungan operasi semasa kumpulan," katanya.
Bagaimanapun jelasnya lagi, operasi semasa kumpulan tersebut masih akan kekal sebagai sebahagian daripada perniagaan terasnya selepas sektor mereka itu nanti dipelbagaikan.
MMAG berkata, lembaga pengarahnya melihat ia sebagai peluang tepat pada masanya memasuki perkhidmatan kewangan dan penerbangan, dengan memanfaatkan pertumbuhan pasaran pinjaman dan industri penerbangan Malaysia.
Malah cadangan pengembangan penerbangan akan membina operasi pengangkutan udara MMAG sendiri, selain dapat memperluaskan perkhidmatannya termasuk pengendalian darat untuk pesawat kargo dan penumpang.
Ini jelasnya kepada bursa, akan meliputi pengendalian penumpang, perkhidmatan pesawat, pengendalian tanjakan, dan operasi kargo, serta perkhidmatan yang berkaitan seperti pajakan pesawat.
"Melangkah ke depan, kumpulan ini akan kekal fokus meneruskan strategi jangka panjang utama untuk mempelbagaikan kepentingan perniagaannya, menjana aliran hasil yang mampan sambil mengekalkan pertumbuhan yang stabil," katanya.
MMAG bahkan menambah bahawa cadangan tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan pendapatan sesaham. - DagangNews.com








