KUALA LUMPUR 28 Nov – MK Land Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Citra Energies Sdn Bhd, memeterai kontrak bernilai RM142.3 juta dengan Atlantic Blue Sdn Bhd, subsidiari Solarvest Holdings Berhad.
Tender terbaharu berkenaan adalah bagi kerja-kerja pembangunan loji solar fotovoltaik berskala besar 29.99MW di Mukim Padang Meha, Kulim, Kedah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Kerjasama ini menggabungkan komitmen jangka panjang MK Land terhadap pertumbuhan lestari dengan kepakaran Solarvest dalam kejuruteraan solar serta pelaksanaan projek, memastikan perancangan, pembinaan dan pengkomisenan loji berjalan lancar.
Ketua Pegawai Operasi MK Land, Frankie Chai berkata, projek ini mengukuhkan portfolio tenaga boleh diperbaharu (RE) kumpulan itu serta membuktikan nilai kerjasama strategik dengan TotalEnergies dan Solarvest.
"Kami komited membina loji solar berkualiti tinggi yang menyokong agenda tenaga bersih negara sambil mewujudkan nilai lestari jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, syarikat itu berbesar hati diberi kepercayaan untuk projek ini dan yakin dapat menyediakan rumusan tenaga lestari yang boleh dipercayai kepada pengguna korporat bagi menyokong matlamat pengurangan karbon.
Kerjasama ini mengukuhkan lagi hubungan berterusan M K Land dengan Solarvest, selepas Solarvest berjaya menyiapkan loji solar 10.95MW di Kerian, Perak pada 2023.
Ia juga jelas beliau, menandakan keyakinan MK Land terhadap tahap kepakaran teknikal dan kebolehan Solarvest dalam projek solar berskala besar. - DagangNews.com








