Minggu Jaringan Ekonomi 2026 tarik lebih 300 usahawan antarabangsa ke Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minggu Jaringan Ekonomi 2026 tarik lebih 300 usahawan antarabangsa ke Kelantan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb – Kelantan menjadi tumpuan lebih 300 usahawan tempatan dan antarabangsa dalam Minggu Jaringan Usahawan Antarabangsa (NWI) 2026, dengan potensi peluang perniagaan bernilai jutaan ringgit dibuka sepanjang program berlangsung. 

 

Acara ini menjadikan negeri itu sebagai pusat strategik untuk kolaborasi, inovasi dan pengembangan pasaran global.

 

Usahawan dari pelbagai sektor, termasuk teknologi, F&B, dan perusahaan kecil serta sederhana, hadir untuk menjalin kerjasama strategik, berkongsi teknologi terkini dan meneroka peluang eksport. 

 

Program ini dijangka memberi impak ekonomi langsung kepada negeri dengan potensi peningkatan pendapatan peserta hingga berbilion ringgit dalam jangka panjang.

 

Kelantan terkenal dengan tradisi keusahawanan yang kukuh, termasuk penglibatan aktif syarikat korporat serta pengusaha mikro dan kecil yang melahirkan ramai usahawan berjaya.

 

Peranan wanita dalam ekonomi Kelantan turut menjadi sorotan utama, dengan Pasar Besar Siti Khadijah menjadi simbol kejayaan dan keterlibatan aktif golongan wanita. 

 

Sementara itu, golongan lelaki menjadi tunjang ekonomi, saling melengkapi bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan pembangunan masyarakat.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata acara bertaraf antarabangsa ini membuka ruang besar untuk pemindahan teknologi, pengembangan pasaran baharu, dan jaringan perniagaan berimpak tinggi di peringkat global.

 

“Kerajaan negeri melihat pembangunan keusahawanan sebagai pelaburan strategik jangka panjang yang mampu mencipta ribuan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan yang mampan.

 

“Program ini juga menyediakan platform perkongsian ilmu dan strategi inovasi, sejajar dengan keperluan rangkaian global yang semakin kompetitif, termasuk peluang untuk eksport produk tempatan ke pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah,” katanya.

 

Slogan BNI Kelantan, “Uboh Cara Set Kito Nnego”, menekankan perubahan minda, budaya perniagaan dan pembangunan jaringan berterusan yang mampu membawa perniagaan tempatan ke tahap antarabangsa. - DagangNews.com