KUALA LUMPUR 14 Julai – Milux Corporation Bhd merancang memperluaskan perniagaannya dalam segmen peralatan rumah menerusi cadangan pengambilalihan syarikat penyewaan dan peruncitan peralatan rumah pintar, Movon Sdn Bhd pada nilai RM150 juta menerusi urus niaga yang dibayar sepenuhnya menggunakan saham.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar peralatan rumah itu berkata, ia akan memperoleh keseluruhan pegangan ekuiti Movon daripada Abletech Solutions Sdn Bhd dan Datuk Dr. Lim Jee Gin melalui penerbitan 220.59 juta saham baharu Milux pada harga terbitan 68 sen sesaham.
Di bawah cadangan itu, Abletech Solutions akan melupuskan pegangan sebanyak 91.4 peratus dalam Movon manakala Datuk Dr. Lim Jee Gin menjual baki 8.6 peratus kepentingannya.
Movon yang ditubuhkan pada 2021 menjalankan perniagaan penyewaan dan peruncitan pelbagai peralatan rumah serta produk isi rumah di bawah jenama Movon.
Antara produk yang ditawarkan termasuk mesin basuh pintar, peti sejuk, penghawa dingin, kunci pintu pintar, selain kereta sorong bayi premium dan kerusi keselamatan kanak-kanak. Kebanyakan produk itu dilengkapi teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) yang membolehkan pengguna mengawal atau memantau peralatan secara digital.
Keunikan model perniagaan Movon terletak pada konsep sewa untuk dimiliki (rent to own – R2O) yang membolehkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran sebelum memiliki produk berkenaan.
Pendekatan itu menawarkan komitmen bayaran permulaan yang lebih rendah berbanding pembelian secara terus, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna.
Menurut Milux, cadangan pengambilalihan itu selari dengan strateginya untuk mengembangkan penawaran produk serta memperluaskan keupayaan pengedaran dalam segmen peralatan rumah dan produk isi rumah.

Syarikat itu berkata, langkah tersebut akan memberikannya akses segera kepada rangkaian jualan langsung dan saluran pengedaran Movon yang disokong oleh ejen jualan berdaftar di seluruh negara, sekali gus memperluaskan capaian pasaran kumpulan.
Selain itu, Milux turut berpeluang memanfaatkan infrastruktur R2O yang telah dibangunkan Movon bagi menawarkan pilihan pembayaran yang lebih fleksibel kepada pelanggan, selain menggabungkan pelbagai saluran jualan untuk memperkukuhkan penawaran produknya.
Selepas urus niaga itu dimuktamadkan, kumpulan yang diperbesar dijangka menawarkan rangkaian produk yang lebih pelbagai, saluran pengedaran yang lebih meluas serta pilihan pembayaran yang lebih fleksibel.
Langkah itu juga dijangka membolehkan Milux menembusi segmen pelanggan baharu termasuk golongan berpendapatan rendah dan pengguna yang cenderung kepada teknologi.
Milux berkata, Movon merupakan syarikat yang telah mempunyai operasi perniagaan serta aliran hasil yang stabil dan penyatuan prestasi kewangannya dijangka menyumbang kepada peningkatan asas pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
Menurut syarikat itu, penyelesaian pembelian sepenuhnya melalui penerbitan saham baharu turut membolehkan Milux mengekalkan rizab tunainya bagi menyokong operasi harian serta pelan pertumbuhan pada masa depan tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tunai yang besar.
Sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, vendor memberikan jaminan keuntungan yang menetapkan Movon perlu mencatat keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya RM8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan RM15 juta bagi tahun kewangan 2027, dengan jumlah keuntungan terkumpul sekurang-kurangnya RM23 juta bagi tempoh dua tahun tersebut.
Sebagai jaminan, Milux akan memegang amanah 33.82 juta saham balasan sehingga sasaran keuntungan itu dipenuhi.
Selepas cadangan pengambilalihan selesai, jumlah saham terbitan Milux dijangka hampir berganda kepada 455.65 juta saham berbanding 235.06 juta saham ketika ini, manakala pegangan saham awam dijangka meningkat kepada kira-kira 29.2 peratus daripada 25.8 peratus. - DagangNews.com








