KUALA LUMPUR 25 Ogos - Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) merancang membangunkan model kenderaan perisai tempur baharu bagi keperluan ATM selain berpotensi menembusi pasaran luar.
Ini membabitkan pembangunan platform kenderaan perisai pacuan 6×6 dan ‘Light Armored Tracked Vehicle’ (LATV) atau kenderaan perisai ringan berunut.
Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dua model ini akan dilakukan menerusi kerjasama strategik MILDEF dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
STRIDE merupakan pusat kepakaran teknikal dan saintifik bagi Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang menyokong pembangunan teknologi pertahanan termasuk industri tempatan.


Ketika ini MILDEF telah berjaya membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) Tarantula dan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) Ribat.
ATM akan menerima 136 kenderaan HMAV Tarantula bermula 2027 setelah kontrak perolehannya bernilai RM1.8 bilion dimeterai pada LIMA 2025.
Pengarah Urusan MILDEF, Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa berkata, perkara tersebut antara perancangan jangka panjang pihaknya untuk terus memajukan teknologi pertahanan negara.
Katanya, proses R&D penting kerana kemajuan teknologi automotif pertahanan sentiasa meningkat dan seiring dengan perkembangan revolusi ketenteraan.


“Ini juga bagi memastikan setiap program R&D di dalam pembikinan kenderaan-kenderaan perisai keluaran MILDEF menepati ciri-ciri dan kehendak pertahanan negara.
“Sehubungan itu, MILDEF telah membentuk kerjasama strategik dengan STRIDE untuk pembangunan platform 6×6 dan Light Armored Tracked Vehicle (LATV),” ujarnya.
MILDEF yang ditubuhkan 20 tahun lalu sebagai syarikat kecil di Kajang berkembang menjadi peneraju nasional dalam penyelenggaraan dan pembuatan kenderaan berperisai.
Ia kini mempunyai 150 tenaga kerja tempatan sepenuhnya yang majoritinya berkemahiran dalam bidang teknikal.
Selain pembuatan kenderaan perisai, MILDEF turut menawarkan perkhidmatan senggaraan bagi kenderaan perisai K200 MIFV, kereta kebal Pendekar PT-91M dan kenderaan VAMTAC.


MILDEF juga membina model naik taraf kenderaan perisai ACV ADNAN dengan ciri-ciri lebih moden sepertimana dikehendaki ATM.
Menurut Mohd Nizam, MILFDEF bersedia untuk melangkah lebih jauh apabila kilang baharu syarikat itu di Sendayan, Negeri Sembilan mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026.
Perasmian kilang pembuatan kenderaan perisai nasional pertama negara bernilai RM2 bilion itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas.
Katanya, MILDEF telah berkembang secara berstruktur melalui pelaburan dalam R&D, rangkaian strategik dan penglibatan antarabangsa.


“Kilang dan fasiliti baharu ini merupakan tonggak penting dalam transformasi MILDEF sebagai penggerak utama industri pertahanan Malaysia.
“Dengan operasi penuh dijangka bermula pada suku pertama 2026 dan jumlah pelaburan yang amat besar, MILDEF berada pada landasan tepat untuk merealisasikan visi menjadi tulang belakang kepada inovasi industri teknologi pertahanan serantau,” ujar Mohd Nizam. - DagangNews.com








