KUALA LUMPUR 28 Nov – Meta Bright Group Berhad melalui anak syarikatnya yang dimiliki 70%, Expogaya Sdn Bhd memperoleh pembiayaan perbankan Islam sehingga RM31.82 juta daripada AmBank Islamic Berhad.
Meta Bright berkata, pembiayaan baharu ini bertujuan untuk mengukuhkan modal kerja, kapasiti pembiayaan perdagangan dan meningkatkan keupayaan operasi Expogaya bagi menyokong pelaksanaan projek infrastruktur utama di seluruh Sabah.
“Fasiliti Cashline-i dan Multi Trade Finance-i yang diperluas memberikan kemampuan tambahan bagi pengurusan modal kerja dan perolehan bahan binaan, manakala sublimit Invoice Financing-i membolehkan aliran tunai syarikat lebih lancar apabila menghadapi permintaan konkrit yang semakin meningkat.
“Langkah ini membolehkan Expogaya menyelesaikan jumlah penghantaran konkrit yang lebih besar serta mempercepatkan tempoh perolehan bagi projek-projek kerajaan dan sektor swasta di negeri tersebut.
“Pembiayaan ini menambah kepada kemudahan RM43.9 juta yang telah diperoleh Expogaya daripada institusi kewangan utama pada tahun lepas, membuktikan keyakinan pihak bank terhadap prestasi kewangan dan asas pelanggan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pembiayaan sebelum ini diberikan berdasarkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun, penambahan asas pelanggan serta peningkatan tempahan projek di seluruh Sabah.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, Sabah kini berada dalam salah satu fasa pembangunan infrastruktur yang paling aktif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dengan sokongan kukuh daripada rakan perbankan kami, Expogaya mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan konkrit berkualiti tinggi di seluruh negeri.
“Ini membolehkan kami mengembangkan operasi dengan lebih pantas, memperbaiki aliran tunai, serta menyokong projek mega yang sedang dan akan dijalankan,” katanya.
Expogaya merupakan penerima utama tumpuan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan di Malaysia Timur, terutamanya di bawah peruntukan Bajet 2026 sebanyak RM6.9 bilion untuk Sabah dan komitmen berbilang tahun bagi projek-projek seperti:
* Lebuhraya Pan Borneo,
* Jalan Sambungan Sabah–Sarawak (SSLR) Fasa 2,
* Pengembangan Lapangan Terbang Tawau, serta
* Pelbagai projek jalan, air dan utiliti luar bandar.
Beliau berkata, kedudukan kewangan Expogaya yang kukuh membolehkan syarikat menyediakan bekalan konkrit siap campur yang lebih stabil untuk projek-projek ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Meta Bright sebagai pemain utama dalam agenda pembangunan infrastruktur negara.
“Pengambilalihan Expogaya pada 2024 ternyata strategi yang tepat. Dengan kapasiti diperluas dan imbangan kewangan yang lebih kukuh, Expogaya kini bersedia mengambil bahagian dalam lebih banyak projek kerajaan dan sektor swasta di Sabah,” katanya. - DagangNews.com








