KUALA LUMPUR 21 Julai – Meta Bright Group Berhad melanjutkan tempoh penggunaan baki dana sebanyak 183 juta saham hasil penempatan persendirian selama enam bulan lagi sehingga 20 Januari 2027.
Langkah itu bagi memberi masa pelaksanaan rancangan pengembangan perniagaan pemberian pinjaman serta memenuhi komitmen pembayaran faedah dan caj bank tanpa menjejaskan prestasi kewangannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ujarnya Lembaga Pengarah memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggunaan baki dana yang masih belum lagi digunakan menerusi penempatan pada 21 Julai 2025.
"Setakat ini, Meta Bright tidak berjaya menggunakan sepenuhnya semua dana yang diperoleh daripada terbitan sehingga 182.61 juta saham baharu menerusi latihan pengumpulan dana tersebut," katanya.
Baki dana yang belum digunakan itu jelasnya, melibatkan RM772,000 diperuntukkan bagi pembayaran caj bank dan faedah berjadual, di samping RM1.959 juta untuk pembangunan perniagaan pemberian pinjaman.
Tambah kumpulan berkenaan, tempoh asal penggunaan dana tersebut sepatutnya sudah berakhir pada 20 Julai 2026, namun kini sudah dilanjutkan selama enam bulan lagi iaitu sehingga 20 Januari 2027.

Menurutnya, bagi peruntukan pembayaran caj bank dan faedah, langkah itu dibuat kerana Meta Bright berjaya menjana aliran tunai yang cukup daripada operasi semasa bagi memenuhi komitmen kewangan.
"Sementara bagi dana pembangunan perniagaan pemberian pinjaman, kumpulan mengadakan rundingan aktif dengan beberapa bakal peminjam yang berpotensi mendapatkan kemudahan pembiayaan," jelasnya.
Bagaimanapun, syarikat memerlukan tempoh tambahan bagi melaksanakan proses usaha wajar dan memuktamadkan syarat komersial yang dipersetujui bersama sebelum dana tersebut dapat disalurkan.
Lembaga Pengarah Meta Bright berpandangan lanjutan tempoh itu wajar kerana memberi fleksibiliti menggunakan hasil penempatan persendirian secara berkesan mengikut keperluan perniagaan semasa.
Lanjutan tempoh berkenaan tidak memerlukan kelulusan pihak berkuasa atau pemegang saham kerana ia hanya membabitkan perubahan kepada jadual penggunaan baki dana yang masih belum dimanfaatkan.
"Keputusan itu tiada kesan negatif terhadap prestasi kewangan dan disifatkan sebagai langkah terbaik memastikan penggunaan dana secara optimum demi kepentingan syarikat," katanya. - DagangNews.com








