KUALA LUMPUR 11 Nov – Mercedes-Benz Malaysia bersama rakan pengedarnya, NZ Wheels, melakar sejarah apabila melancarkan Stars@Mercedes-Benz terbesar di dunia di Bangsar, yang turut digabungkan dengan jenama runcit baharu Mercedes-Benz, menjadikannya yang pertama seumpamanya di peringkat global.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia, Amanda Zhang berkata, pelancaran tersebut mencerminkan transformasi Mercedes-Benz dalam menjadikan ruang runcit sebagai destinasi gaya hidup mewah yang menggabungkan teknologi digital dan pengalaman eksklusif pelanggan.
“Sebagai peneraju industri automotif, Mercedes-Benz sentiasa meningkatkan pengalaman pelanggan. Bersama rakan strategik kami NZ Wheels, Stars@Mercedes-Benz Bangsar yang dipadankan dengan jenama runcit terkini Mercedes-Benz adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” kata Zhang.
“Ia mencerminkan visi kami untuk menjadikan ruang runcit sebagai destinasi gaya hidup yang imersif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kami mengintegrasikan teknologi digital canggih dengan rekaan eksklusif, memberikan pelanggan pengalaman holistic, bukan sekadar mempamerkan kenderaan, tetapi menampilkan gaya hidup mewah pemilik jenama Mercedes-Benz di Malaysia,” jelasnya lagi.
Dibina sebagai konsep urban perintis, Stars@Mercedes-Benz Bangsar menempatkan model paling eksklusif Mercedes-Benz termasuk Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach, dan rangkaian G-Class di bawah satu bumbung.
Ruang seluas 1,800 meter persegi itu menampilkan bilik privasi pelanggan, antaramuka digital interaktif dan kemudahan berorientasikan gaya hidup.
Terletak strategik di Bangsar, ia direka khas untuk memenuhi komuniti bernilai tinggi di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
NZ Wheels melaburkan RM5 juta bagi pembinaan bilik pameran dua tingkat tersebut, termasuk zon khas untuk Mercedes-Maybach, Mercedes-AMG, G-Class dan model utama Mercedes-Benz.
Aras bawah bilik pameran itu direka dengan ciri modular yang boleh ditukar kepada identiti eksklusif setiap jenama dalam tempoh hanya 30 minit, menggunakan sistem dinding modular, logo khusus dan elemen rekaan tersendiri.
Antara daya tarikan penting ialah zon MANUFAKTUR, di mana pelanggan boleh memilih kemasan tersuai dan bahan premium bagi pembinaan kenderaan mereka, menonjolkan ketelitian kerja tangan serta kraf eksklusif Mercedes-Benz.
Skrin digital besar berdefinisi tinggi turut dipasang bagi membolehkan kandungan audio visual dipaparkan secara emosi dan dinamik, mewujudkan pengalaman imersif yang menyerupai dunia identiti setiap jenama.
Kemudahan turut dilengkapi lounge gaya kafe, bilik rundingan pelanggan eksklusif, serta alat media digital untuk konsultasi peribadi.
Aras pertama dengan penjenamaan runcit terkini Mercedes-Benz berfungsi sebagai platform digital generasi baharu dengan menawarkan tetapan fleksibel, paparan produk interaktif dan pengalaman membeli kenderaan yang lebih intuitif.
Zon AMG Performance Center disediakan untuk pelanggan menikmati pengalaman penuh jenama berprestasi tinggi Mercedes-AMG.
Pengerusi Kumpulan Naza Automotive Group, Datuk Jasmy Ismail berkata, pelancaran ini menandakan komitmen NZ Wheels untuk menetapkan standard baharu dalam runcit automotif mewah.
“Bilik pameran ini adalah kebanggaan kami kerana ia membawa pengalaman runcit mewah ke tahap lebih tinggi bagi pelanggan di Bangsar dan sekitarnya. Ia tempat di mana inovasi bertemu elegan, menjadikan setiap pelanggan berasa dihargai dan diilhamkan,” katanya.
“Ia akan menjadi penanda aras untuk perkhidmatan diperibadikan dan pengalaman automotif eksklusif, selari dengan keperluan pengguna mewah masa kini,” menurutnya.
Kemudahan turut melibatkan pengecas pantas DC 50 kW, serta kawasan penyerahan kenderaan berasaskan digital.
Selain itu, pusat servis 2S baharu di Jalan Genting Klang/Setapak dijadual beroperasi pada suku kedua 2026.
Dengan pembukaan ini, rangkaian NZ Wheels kini merangkumi empat lokasi iaitu Klang, Johor Bahru, Setapak dan Bangsar, melibatkan pelaburan keseluruhan RM20 juta bagi memperkukuh pengalaman automotif mewah di seluruh negara. - DagangNews.com








