KUALA LUMPUR 24 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 2,937 aduan di seluruh negara berkaitan kualiti rangkaian dalam tempoh 1 Januari 2025 sehingga 20 November 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, semua aduan tersebut direkodkan melalui Consumer Redress Portal (CRP).
Beliau berkata, secara keseluruhan, kategori utama yang menyumbang kepada jumlah aduan ialah gangguan perkhidmatan/tergendala dengan 2,043 aduan atau 70% diikuti kelemahan liputan 4G/LTE sebanyak 274 aduan (12%).
“Selain itu, masalah sambungan/kelajuan internet ialah sebanyak 306 aduan (10%), ketiadaan liputan 4G/LTE sebanyak 136 aduan (5%) serta kelemahan liputan 5G dengan 109 aduan (4%).
“Daripada jumlah aduan tersebut, terdapat tiga aduan diterima bagi kawasan Parlimen Tanjong Karang.
“Satu aduan berkenaan masalah gangguan perkhidmatan/tergendala telah diselesaikan manakala dua lagi aduan melibatkan kelemahan liputan 4G/LTE dalam tindakan Pejabat MCMC Negeri Selangor dan pemberi perkhidmatan dengan melaksanakan pengukuran prestasi rangkaian 4G di 13 lokasi di kawasan Parlimen Tanjong Karang,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang meminta penjelasan mengenai statistik aduan rakyat berkaitan liputan internet/5G dan penyebaran berita palsu di platform media sosial termasuk jumlah aduan, tindakan diambil dan trend sejak awal 2025 hingga kini di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati terdapat beberapa ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
“Sebanyak 7 Notis 51(2) telah dikeluarkan secara rasmi kepada Pemberi Perkhidmatan Rangkaian bagi tujuan pelaksanaan pelan penambahbaikan sebelum Arahan Suruhanjaya dikeluarkan.
“Untuk makluman, MCMC sentiasa memantau kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan. Sekiranya didapati gagal memenuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang
ditetapkan, MCMC akan mengeluarkan Arahan Suruhanjaya serta mengenakan penalti sivil berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.
Selain itu, MCMC juga telah menerima sebanyak 812 aduan berkaitan penyebaran kandungan atau berita palsu di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari 2025 sehingga 20 November 2025 yang direkodkan melalui CRP.
Antara aduan yang diterima melibatkan penyebaran kandungan palsu berkaitan inisiatif Kerajaan kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau berkata, selain itu, terdapat juga aduan berhubung penyebaran maklumat palsu yang bertujuan menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Bagaimanapun, daripada keseluruhan aduan yang diterima dalam tempoh tersebut, tiada aduan berkaitan penyebaran berita atau kandungan palsu dilaporkan dari kawasan Tanjong Karang.
“Namun demikian, MCMC telah mengambil tindakan proaktif dalam memerangi penyebaran berita palsu kepada komuniti di Tanjong Karang dengan pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) terhadap 36 buah sekolah dan program yang dianjurkan bersama NADI dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri,” katanya.
Antara program yang dianjurkan adalah Program Jiwa Komuniti Madani di NADI Permatang dan Program Mini Asas Penerangan di Pusat Penyelaras DUN Permatang pada suku kedua dan ketiga tahun
2025. - DagangNews.com








