KUALA LUMPUR 12 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkukuh kerjasama strategik bagi memacu transformasi industri negara melalui segmen “Powering Smart Industries” dalam MIDA Flagship Investment Seminar: The Industrial Cluster Development Initiative for the Central Region, yang berlangsung dari 11 hingga 12 November 2025 di Kuala Lumpur.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, seminar tersebut menghimpunkan pemimpin industri utama, ahli perniagaan dan agensi kerajaan bagi merangka hala tuju seterusnya bagi pertumbuhan kluster industri di wilayah tengah meliputi Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, yang menyumbang hampir separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menjadi nadi kepada sektor teknologi tinggi negara seperti elektronik, automotif dan logistik.
Katanya, penyertaan MCMC dalam seminar berkenaan adalah kesinambungan kepada pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan MIDA yang dimeterai pada 4 Julai 2024, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan industri terhadap penggunaan teknologi 5G, termasuk dalam kalangan sektor vertikal dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Melalui kolaborasi ini, MCMC dan MIDA komited mempercepat penerimagunaan teknologi 5G dalam industri, sekali gus memastikan sektor perniagaan tempatan bersedia bersaing dalam ekonomi digital yang semakin pesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, MCMC bersama penyedia rangkaian mudah alih utama iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL, turut menganjurkan 5G Technology Showcase dan Enterprise 5G Business Clinic yang menawarkan khidmat perundingan secara langsung dengan pakar penyelesaian teknologi.
Menurut MCMC, pameran itu mempamerkan pelbagai aplikasi praktikal teknologi berasaskan 5G, termasuk pembuatan pintar, automasi industri dan analitik masa nyata yang menunjukkan potensi teknologi tersebut dalam mentransformasi operasi perniagaan serta memperkukuh daya saing industri nasional.
Selain itu, MCMC turut menampilkan beberapa inisiatif strategik seperti NEXUS, PRIME, NXT, Check Your Label dan Kempen Internet Selamat (KIS) di Pavilion Pameran sebagai platform kolaboratif bagi mempertingkat kesedaran serta menggalakkan sesi libat urus bersama pemain industri.
“Menerusi inisiatif ini, MCMC dan MIDA menegaskan komitmen mereka untuk mempercepat transformasi digital industri negara serta memacu peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan 5G, sejajar dengan aspirasi negara membina ekosistem industri yang inklusif, berdaya saing dan mampan,” katanya lagi.
Langkah ini juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau untuk industri berteknologi tinggi dan berasaskan inovasi, sejajar dengan visi Malaysia MADANI dan agenda Ekonomi Digital Nasional (MyDIGITAL). - DagangNews.com








