KUALA LUMPUR 12 Mac — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjelaskan kenapa boleh berlaku perbezaan kompaun yang dikenakan antara kes pengendali stesen radio Era FM dengan pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap.
Menurutnya, kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan terhadap stesen radio swasta di bawah Maestra Broadcast Sdn Bhd itu berdasarkan selepas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang diwartakan pada 11 Februari 2025.
Berikutan pindaan tersebut, ia juga memperuntukkan hukuman penjara yang tidak lebih daripada tempoh lima tahun, denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun kata MCMC, keadaan adalah berbeza bagi kes pelawak terkenal, Harith Iskander dan pengguna Facebook bernama Cecelia Yap yang telah memuat naik kandungan serta komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu.
Mereka hanya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana kesalahan tersebut berlaku sebelum pindaan akta berkenaan dibuat, kata MCMC.
Semalam, MCMC berkata, pihaknya tidak menggantung lesen radio Era FM selepas menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd, sebaliknya syarikat pengendali stesen itu dikompaun RM250,000.
Sebelum ini, Astro Audio menggantung penyampai radio slot '3 Pagi Era' iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi berkait perayaan agama Hindu.
Harith pula didakwa pernah memuat naik hantaran melalui akaun Facebook miliknya dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi yang berharga RM5.50.
Cecelia pula didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’ baru-baru ini namun telah tampil memohon maaf.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kompaun RM250,000 yang dikenakan terhadap pengendali stesen radio Era FM selepas tersebarnya video kontroversi mempersendakan agama Hindu mengambil kira Maestra Broadcast Sdn Bhd adalah sebuah syarikat, bukan individu.
Beliau berkata, adalah salah untuk membandingkan perkara itu dengan kes kontroversi melibatkan penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’.
Katanya, KK Mart didakwa mengikut Kanun Keseksaan, iaitu undang-undang berbeza, dan didenda RM60,000.
Fahmi menjelaskan bahawa kes itu tidak pula melibatkan kandungan dalam talian atau melibatkan pemegang lesen MCMC. - DagangNews.com








