KUALA LUMPUR 14 Nov – Kementerian Komunikasi telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang mengenakan bayaran bagi perkhidmatan perlindungan anti-scam serta memberikan justifikasi terhadap caj berkenaan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MCMC turut diminta mendapatkan penjelasan terperinci daripada syarikat terlibat dan meneliti sama ada caj tersebut wajar dikenakan kepada pengguna.
“Saya belum meneliti laporan tersebut, tetapi saya akan meminta MCMC mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang terlibat.
“Ini adalah bagi mendapatkan penjelasan dan meneliti perkara tersebut, sama ada ia wajar atau tidak.
“Kita mahu memahami dahulu apa yang dimaksudkan dengan perkhidmatan itu dan caj yang dikenakan,” katanya pada sidang media pasca-Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi berkata demikian susulan laporan yang memaklumkan terdapat syarikat telekomunikasi mula memperkenalkan perkhidmatan anti-scam berbayar, yang menurutnya mencerminkan peningkatan tumpuan terhadap keselamatan digital di peringkat industri.
Namun, katanya, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan penting mengenai kesesuaian dan keadilan kepada pengguna, khususnya apabila ciri keselamatan asas dijadikan perkhidmatan berbayar.
Walaupun inisiatif itu dilihat selari dengan usaha negara memerangi penipuan dalam talian dan memperkukuh keselamatan siber, langkah sesetengah telco mengenakan caj bulanan bagi perkhidmatan perlindungan scam nyata mengundang kritikan pemerhati industri.
Menurut mereka, menjadikan keselamatan digital asas sebagai produk premium bercanggah dengan tanggungjawab sosial telco yang bergantung kepada kepercayaan awam serta integriti rangkaian.
Beberapa syarikat telekomunikasi telah mempromosikan langganan “anti-scam protection” yang menawarkan amaran masa nyata, pengesanan phishing dan pemantauan data peribadi, namun dengan bayaran tertentu.
Pemerhati berhujah, langkah sedemikian boleh dilaksanakan di peringkat rangkaian bagi memberi manfaat kepada semua pengguna, dan bukannya memindahkan tanggungjawab serta kos kepada individu.
Data kerajaan menunjukkan ancaman scam dalam talian semakin meruncing, dengan kerugian mencecah RM1.919 bilion antara Januari hingga September, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Jumlah kes turut meningkat kepada 47,854, berbanding 35,368 kes tahun lalu yang melibatkan kerugian RM1.574 bilion.
Pemerhati berkata, angka-angka tersebut menggariskan keperluan mendesak untuk mempunyai sistem pertahanan rangkaian yang lebih kukuh dan menyeluruh, berbanding penyelesaian terpilih berasaskan bayaran. - DagangNews.com








