KUALA LUMPUR 21 Julai – Maybulk Berhad memperoleh sokongan hampir sebulat suara daripada pemegang saham untuk melupuskan aset tanah pegangan bebas bernilai RM278.05 juta di Klang, Selangor.
Menurutnya, langkah strategik tersebut yang dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat serta menyediakan lebih banyak fleksibiliti bagi meneroka luas peluang pertumbuhan pada masa hadapan.
Kelulusan satu-satunya resolusi yang dibentangkan itu diperoleh menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat yang berlangsung di Crystal Plaza, Petaling Jaya, Selangor pada 20 Julai 2026.
"Resolusi berhubung cadangan pelupusan dua lot tanah milik anak syarikat, MBC Logistic Hub Sdn Bhd kepada WG Malaysia VIII Sdn Bhd diluluskan melalui proses pengundian," maklum Maybulk kepada bursa.
Tambah kumpulan tersebut, pelupusan hartanah berkenaan melibatkan Lot 119907 di bawah Geran 455286 dan Lot 119908 di bawah Geran 455287, yang kedua-duanya terletak di Mukim Kapar, Daerah Klang.

Nilai transaksi penjualan ialah RM278,049,310, yang akan dibayar sepenuhnya secara tunai oleh pembeli, dengan keputusan pengundian menunjukkan cadangan berkenaan menerima sokongan amat kukuh.
Sejumlah 41 pemegang saham Maybulk mewakili 181.36 juta saham atau 99.9938% daripada jumlah undi menyokong usul itu, berbanding hanya tujuh pemegang saham mewakili 11,220 saham yang menolaknya.
"Keputusan pengundian disahkan muktamad oleh SKY Corporate Services Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pemeriksa bebas bagi memastikan proses pengundian dijalankan secara telus dan teratur," jelasnya.
Cadangan pelupusan tanah itu sebelum ini diumumkan pada 3 Julai 2026 bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham susulan hasrat syarikat menjual aset sebagai sebahagian langkah pengoptimuman nilai.
Dengan kelulusan rasmi yang diperoleh pada EGM itu, Maybulk kini boleh meneruskan pelaksanaan urus niaga mengikut terma dipersetujui, dan membuka ruang strategik pada masa depan. - DagangNews.com








