KUALA LUMPUR 10 Nov – Malayan Banking Berhad memperkukuh komitmen pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dengan menyediakan pembiayaan dan pelaburan berjumlah RM15 bilion.
Ini termasuk RM10 bilion pembiayaan diluluskan dan RM5.35 bilion dalam tempoh tiga hingga 10 tahun melalui surat hasrat (LOI) pelanggan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).
Pembiayaan Maybank itu meliputi pelbagai segmen pelanggan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat sederhana, hingga multinasional yang terlibat dalam industri utama JS-SEZ.
"Ia meliputi antaranya segmen pembuatan yang bernilai tinggi, perkhidmatan logistik, ekonomi digital, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan," kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk fasa awal, ia menyerahkan surat tawaran pembiayaan berjumlah RM120 juta Cape EMS Bhd, Haily Construction, NES Packaging, MCH M&E, dan TSH Manufacturing yang kesemuanya berpusat di Johor.
Ia juga membuka pusat perkhidmatan generasi baharu di Forest City, dirasmikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sri Khairussaleh Ramli.
Jelasnya, ia merupakan cawangan ke-67 Maybank di Johor dan direka sebagai hab perbankan moden yang menyokong aspirasi Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) untuk menjadi pusat kewangan serantau.
Dalam pada itu, Maybank berkata, antara LOI utama ialah RM3 bilion dari pemaju hartanah industri mampan Singapura, Equalbase, untuk mengembangkan kemudahan seluas 0.2 juta meter persegi di Senai
"Ia menyokong rantaian bekalan hijau dan peluang pekerjaan berteknologi tinggi, manakala LOI lain bernilai RM2.35 bilion dengan pelaksanaan dijangka antara 3 hingga 10 tahun akan datang," katanya.
Antaranya jelas kumpulan perbankan itu daripada beberapa syarikat antarabangsa seperti Alpine Renewables dan Edible Oils Pte Ltd, Centurion Corporation Ltd, serta Thomson Medical Group Ltd.
Maybank juga katanya, turut menonjolkan peranan melangkaui perbankan tradisional dengan memudahkan penubuhan pejabat keluarga tunggal (SFO) di FCSFZ, termasuk dua SFO yang pertama di Malaysia.
Ia tambahnya, meliputi One KL Management Sdn Bhd dan Beach Capital Holdings Sdn Bhd, manakala sebanyak 13 lagi SFO kini dalam perancangan sebelum dapat memulakan operasi masing-masing.
"Dalam aspek kewangan Islam dan halal, Maybank Islamic menyediakan khidmat nasihat pensijilan halal kepada perniagaan tempatan seperti Kopi Rakyat dan Holiday Inn Johor Bahru," ujar Maybank.
Usaha itu katanya, selaras dengan aspirasi menjadikan JS-SEZ sebagai hab pengeluaran global bersijil halal, dan Pusat Perkhidmatan Forest City menampilkan konsep perbankan hibrid masa depan.
Ia menggabungkan interaksi fizikal dan digital melalui kemudahan Digital Xperience Zone, bilik maya, ruang komuniti dan konsultasi pelanggan, bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Pada masa sama jelas kumpulan berkenaan, fasiliti tersebut dapat memacu bidang pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, kenderaan elektrik, kesihatan dan pengurusan kekayaan.
Khairussaleh menegaskan bahawa usaha pembiayaan dan pelaburan terbaharu itu adalah sebahagian daripada strategi M25+ Maybank bagi menyokong trend pertumbuhan mampan Malaysia dan Singapura.
“Maybank berhasrat menjadi rakan kongsi nilai jangka panjang dan antara institusi kewangan pertama membina ekosistem JS-SEZ sebagai gerbang utama perdagangan serta pelaburan ASEAN,” kata beliau.
Langkah ini menunjukkan komitmen berskala besar terhadap pembangunan JS-SEZ, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi strategik serantau menjelang 2030. - DagangNews.com








