Matrade buka laluan baharu MTC Malaysia tembusi pasaran India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Matrade buka laluan baharu MTC Malaysia tembusi pasaran India

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Nov - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah membuka laluan baharu bagi syarikat pertengahan (MTC) Malaysia untuk menembusi pasaran India melalui Misi Penyerapan Pasaran ke Mumbai, India.

 

Sebanyak empat syarikat tempatan menyertai misi ini, mewakili sektor bernilai tinggi termasuk perkhidmatan profesional, pembinaan dan bahan binaan, serta francais.

 

Matrade dalam satu kenyataan berkata, Malaysia dan India mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkembang.

 

"Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara adalah RM83.5 bilion, peningkatan sebanyak 10.8% berbanding tahun sebelumnya," jelasnya.

 

Inisiatif ini bertujuan untuk memperdalam penglibatan dengan pemain ekosistem perniagaan dinamik India, membuka prospek eksport baharu dan meningkatkan keterlihatan MTC Malaysia dalam pelbagai rantaian bekalan.

 

Program ini menampilkan mesyuarat perniagaan terancang, sesi pitching dengan pengimport India dan bengkel risikan pasaran yang diketuai Matrade serta rakan strategik, termasuk Deloitte Consulting.

 

Delegasi Malaysia juga akan menyertai 6th World Trade Expo dan 10th Global Economic Summit di Mumbai bagi mengukuhkan penjenamaan global dan meneroka perkongsian baharu. - DagangNews.com