KUALA LUMPUR 25 Jun — Rangkaian makanan segera halal tempatan terbesar di Malaysia, Marrybrown, merancang untuk membuka lebih 40 cawangan lagi di seluruh negara dalam masa yang terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Lek Seong Chan berkata, usaha penambahan banyak premis baharu tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan tempatannya untuk jangka panjang.
Kesemua cawangan berkenaan kata beliau, dijangka memberi kesan limpahan meluas ekonomi setempat apabila mampu mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan di kawasan bandar utama dan bandar kecil.
"Kami mengaitkan kejayaan ini dengan sokongan luar biasa komuniti tempatan, bukan sahaja datang ke cawangan kami tetapi ada berkhidmat sebagai pekerja berdedikasi," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu tambah Seong Chan, pengembangan rangkaian Marrybrown yang begitu pesat pada masa ini juga disebabkan sokongan yang amat menggalakkan, terutamanya dari kalangan masyarakat Melayu.
Bagaimanapun, syarikat milik persendirian itu tidak memberikan sebarang tempoh garis masa atau unjuran perbelanjaan modal yang dirancang untuk pertambahan cawangan dalam kenyataan berkenaan.
Marrybrown ketika ini sudah mempunyai lebih 500 restoran meliputi 16 negara, termasuk di Sweden, Australia, Singapura, Indonesia, Thailand, Myanmar, India dan Maldives serta di Afrika dan Asia Barat.
Syarikat tersebut diasaskan oleh Lawrence Liew dan Nancy Chan dengan cawangan pertamanya di Johor Bahru, Johor pada 1981, manakala hari ini rangkaiannya menggaji lebih 10,000 pekerja. - DagangNews.com








