Malaysia perhebatkan usaha ke arah negara berteknologi tinggi, hab semikonduktor global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perhebatkan usaha ke arah negara berteknologi tinggi, hab semikonduktor global

KUALA LUMPUR 6 Nov – Malaysia memperhebatkan usaha untuk menjadi negara berteknologi tinggi yang dipacu oleh inovasi dengan strategi jelas untuk melangkah lebih jauh daripada sekadar bidang pembuatan kepada penciptaan teknologi dan pemimpin sektor semikonduktor global, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

 

Beliau berkata, masa depan teknologi Malaysia bergantung kepada keupayaannya melabur dalam bakat, penyelidikan dan inovasi, terutamanya dalam sektor semikonduktor yang berkembang pesat.

 

“Kita berada dalam persaingan global bukan sekadar untuk menghasilkan teknologi, tetapi untuk menguasainya. 

 

“Persaingan ini akan dimenangi oleh negara yang melabur dalam bakat, inovasi dan keberanian,” katanya ketika berucap pada edisi ketujuh siri Tech Talks anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Universiti UCSI malam tadi.

 

Menurut Chang, industri elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai antara penyumbang ekonomi utama negara dengan eksport semikonduktor meningkat daripada RM106 bilion pada 2015 kepada RM387 bilion pada 2023.

 

“Sektor itu kini menyumbang kira-kira satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menyokong sekitar 100,000 pekerjaan.

 

“Melalui pelaburan baharu, latihan khusus dan kerjasama strategik, kita sedang membina keseluruhan rantaian keupayaan semikonduktor. 

 

“Matlamat kita jelas, untuk menjadikan ekosistem semikonduktor Malaysia bukan sahaja kompetitif, tetapi juga lengkap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” ujarnya.

 

Beliau berkata Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 menjadi asas kepada aspirasi teknologi tinggi Malaysia. 

 

Dasar itu menggariskan enam teras dasar dan 40 inisiatif rentas kementerian bagi memperkukuh tadbir urus penyelidikan dan inovasi di seluruh negara.

 

“Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada 2.5% daripada KDNK, dengan 70% daripadanya didorong oleh sektor swasta. 

 

“Modal insan merupakan teras kepada misi ini, dengan sasaran 200 penyelidik, saintis, jurutera dan ahli teknologi bagi setiap 10,000 pekerja,” katanya.

 

Chang turut memaklumkan bahawa Malaysia kini berada di tangga ke-34 dalam Indeks Inovasi Global 2025, manakala Kuala Lumpur meningkat daripada kedudukan ke-93 ke ke-86 dalam senarai kluster sains terbaik dunia.

 

Ini menjadikan Malaysia antara hanya 15 negara di dunia yang mempunyai dua atau lebih kluster inovasi yang diiktiraf.

 

Tambahnya, agensi-agensi di bawah MOSTI, khususnya Mimos, memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda inovasi negara melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat tempatan.

 

Katanya, Pusat Teknologi Semikonduktor Mimos kini menawarkan kemudahan ujian dan kebolehpercayaan bertaraf dunia, termasuk keupayaan ujian automotif antarabangsa. 

 

“Pada masa sama, Akademi Junior Mimos ditubuhkan bagi menginspirasi kanak-kanak dan remaja Malaysia untuk meneroka bidang sains dan inovasi sejak peringkat awal.

 

“Perjalanan ini tidak boleh dicapai oleh kerajaan semata-mata. Kerjasama antara sektor awam dan swasta amat penting, menggabungkan dasar kerajaan, kepakaran industri dan inovasi akademik di bawah satu misi bersama,” katanya. - BERNAMA