KUALA LUMPUR 11 Julai - Gabungan Industri Pertahanan Malaysia (CDIM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga entiti industri pertahanan utama Perancis di Paris.
Perjanjian ini bagi memupuk kerjasama dalam sektor aeroangkasa, maritim, darat, sistem dan teknologi.
Tiga entiti utama Perancis tersebut ialah dalam sektor maritim (GICAN), pertahanan darat dan udara-darat (GICAT) serta aeroangkasa (GIFAS).
Ia ditandatangani semasa lawatan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin ke Perancis baru-baru ini.

MoU dimeterai antara Presiden CDIM Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi dan ketua pegawai eksekutif setiap entiti Perancis iaitu Philippe Berterottiere (GICAN); Nicolas Chamussy (GICAT) dan Fréderic Parisot (GIFAS).
Kerjasama itu menandakan komitmen untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri tempatan.
Langkah ini dijangka dapat meningkatkan industri pertahanan Malaysia, meningkatkan keupayaannya dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. .
Ia adalah langkah strategik untuk meletakkan syarikat Malaysia sebagai rakan kongsi yang berkebolehan di persada antarabangsa dan untuk mengukuhkan ekosistem pertahanan negara.

MoU itu juga sejajar dengan keutamaan pembangunan negara dan objektif keselamatan serantau.
CDIM merupakan persatuan industri pertahanan Malaysia yang bekerjasama dengan tiga entiti Perancis ini.
Sementara itu, Nonee Ashirin dalam kenyataannya memberitahu, perjanjian ini merupakan pencapaian strategik bagi sektor pertahanan Malaysia.
Jelas beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia (GTA), ia mencerminkan cita-cita untuk mengembangkan perkongsian global.
“Dengan bekerjasama rapat dengan rakan industri Perancis, kita bukan sahaja meningkatkan keupayaan perindustrian kami, tetapi juga membuka laluan untuk inovasi, peningkatan kemahiran dan akses pasaran global,” ujarnya.
Mewakili delegasi Perancis, Philippe Berterottiere berkata, Malaysia merupakan antara pemain penting dalam landskap pertahanan global yang semakin meningkat.
“Melalui MoU ini, kami menyasarkan untuk membina hubungan industri pertahanan bersifat jangka yang melangkaui teknologi, perkongsian yang berteraskan kepercayaan, inovasi dan kemakmuran bersama,” jelas beliau. - DagangNews.com








