KUALA LUMPUR 11 Okt - Malaysia berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) menerusi Bajet 2025 dengan menawarkan insentif cukai yang menarik, peraturan diperkemas dan sokongan sektor yang disasarkan, kata penganalisis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pemotongan cukai korporat untuk industri utama seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui (RE), pembuatan termaju dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diperluaskan akan menarik pelaburan jangka panjang.
Katanya, proses pendigitalan kerajaan dan memudahkan pematuhan akan mengurangkan halangan manakala pelepasan cukai, kredit karbon dan insentif tenaga bersih dijangkakan meningkatkan projek hijau.
"Geran latihan dan perkongsian pendidikan perniagaan boleh membina tenaga kerja mahir, manakala zon ekonomi khas yang diperluaskan dengan infrastruktur yang dipertingkatkan dan pengecualian cukai akan menyokong perniagaan yang dipacu eksport," katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata, ekonomi digital akan berkembang maju dengan kecerdasan buatan (AI), automasi dan faedah cukai infrastruktur digital sementara pengurangan cukai ke atas pendapatan dan dividen yang dihantar pulang akan meningkatkan tarikan pelaburan jangka panjang.
"Perlindungan harta intelek yang lebih kukuh dan perjanjian pelaburan dua hala baharu akan memberikan kepastian undang-undang, manakala bon infrastruktur dan perkongsian awam-swasta akan menarik penyertaan asing dalam projek berskala besar.
"Langkah-langkah ini akan mewujudkan persekitaran pelaburan yang menarik dan berpandangan ke hadapan, sejajar dengan aliran global," katanya.
Jumlah perdagangan Malaysia kekal pada laluan pertumbuhan dua angka pada Ogos 2024, dirangsang oleh ekonomi global yang berkembang maju.
Jumlah perdagangan pada Ogos tahun ini meningkat kepada RM252.7 bilion, melonjak 18.6% daripada RM213 bilion pada Ogos 2023, didorong pertumbuhan 26.2% dalam import, yang mencecah RM123.5 bilion, dan eksport sebanyak 12.1%, bernilai RM129.2 bilion.
Walaupun sektor sensitif cukai mungkin berasa sedikit, Innes berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh, lokasi strategik dan fakta bahawa pesaing serantau akan melaksanakan cukai minimum global (GMT) yang sama harus memastikan Malaysia berada dalam radar pelabur.
“GMT dijangka tidak mengganggu status Malaysia sebagai destinasi FDI teratas,” katanya.
Kerajaan Malaysia telah mengumumkan rancangan untuk melaksanakan GMT berdasarkan Peraturan Anti-Hakisan Global (GloBE) pada 2025.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik yang menjimatkan kos untuk menarik FDI baharu dan ketersediaan kumpulan bakat serta dasar kerajaan yang properniagaan adalah antara tarikan utama.
"Alangkah baik sekiranya terdapat insentif untuk syarikat asing memindahkan teknologi mereka kepada pemain tempatan. Ini boleh dilakukan dengan menggalakkan kerjasama dengan universiti tempatan dalam bidang berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta dapat mengkomersialkan idea itu.
"Selain itu, menyediakan ruang bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kita untuk disepadukan ke dalam rantaian bekalan global akan mempercepat pembangunan sektor tersebut. Jika syarikat asing melakukan ini, mereka boleh menerima beberapa insentif cukai," katanya. - DagangNews.com








