Malaysia belanja RM184.4 juta anjur Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia belanja RM184.4 juta anjur Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Gambar ASEAN
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Nov – Malaysia membelanjakan sebanyak RM184.4 juta bagi menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober lalu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

 


Beliau berkata, jumlah tersebut adalah selaras dengan peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan dilaksanakan mengikut tatacara tadbir urus kewangan sedia ada, dengan mengambil kira pelbagai langkah penjimatan kos bagi memastikan penggunaan sumber awam yang optimum.

 


“Perbelanjaan ini diluluskan di bawah kawalan rapi dan berhemat, dengan memastikan setiap aspek penganjuran menepati prosedur kewangan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan Lim Lip Eng (PH–Kepong) berhubung kos penganjuran dan langkah keselamatan yang diambil sepanjang sidang berlangsung.

 


Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila berjaya menghimpunkan pemimpin utama global termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney; Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi; dan Premier China, Li Qiang.

 


Antara pencapaian utama sidang berprofil tinggi itu termasuk penandatanganan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Peace Accord) antara Kemboja dan Thailand, menamatkan pertikaian berlarutan antara dua negara jiran itu, selain Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat yang menetapkan kadar tarif kekal 19% ke atas barangan terpilih.


 

ASEAN

 

solar

 


Mohamad berkata, kejayaan penganjuran tersebut membuktikan keupayaan logistik, protokol dan keselamatan Malaysia dalam mengendalikan acara bertaraf dunia yang melibatkan ribuan pegawai dan delegasi antarabangsa.

 

“Penganjuran berjalan lancar dengan koordinasi berkesan bersama kedutaan-kedutaan asing di Kuala Lumpur, dan mendapat maklum balas positif daripada negara peserta serta masyarakat antarabangsa,” katanya.

 


Beliau menegaskan, keberhasilan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah berprestij dalam diplomasi serantau, tetapi turut membuka peluang menarik pelaburan, memperluas hubungan perdagangan, dan meningkatkan keyakinan global terhadap ekonomi negara.

 


“Pujian daripada rakan antarabangsa mencerminkan tahap kesiapsiagaan Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab besar ini, sekali gus memperkukuh reputasi negara sebagai pemain penting di rantau Asia Tenggara,” katanya lagi. - DagangNews.com