KUALA LUMPUR 17 Feb — Malaysia Airlines Group (MAG) telah berjaya menyelesaikan isu-isu teknikal berkaitan Airbus A330neo malahan bakal menerima sejumlah 19 pesawat secara beransur-ansur mulai bulan ini hingga 2026.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata MAG juga dijangka dapat menerima tiga lagi enjin gantian mulai suku ketiga 2025, sebagai tambahan kepada satu enjin gantian yang sudah dimilikinya pada masa ini.
“MAG sudah ada satu pesawat Airbus A330neo, dan baki dijangka diterima dari Februari 2025 hingga 2026. Selain itu, MAG juga bakal menerima secara progresif enjin gantian bermula suku ketiga 2025,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) bertanyakan tindakan Kementerian Pengangkutan selepas operasi pesawat baharu itu digantung MAG untuk penerbangan sulung ke Melbourne pada 19 Disember.
Mengulas lebih lanjut, Hasbi berkata bahawa MAG juga telah meminta Airbus dan Rolls-Royce untuk memastikan aspek kawalan kualiti lebih ketat untuk penghantaran pesawat baharu berikutnya yang akan diterima pada masa hadapan.
“Dalam perkara ini, MAG akan sentiasa memastikan kualiti pengeluaran pesawat menepati piawaian tertinggi terutama baki pesawat yang masih belum diterima kerana keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan,” katanya.
Tahun lepas, Airbus A330neo yang baru dihantar menghadapi masalah teknikal. Hasbi menjelaskan bahawa pesawat Airbus A330neo baharu milik MAG telah digantung sementara pada 22 dan 23 Disember kerana masalah teknikal.
Beliau namun berkata secara am, pengeluar pesawat di seluruh dunia berdepan isu kualiti pengeluaran disebabkan faktor kekurangan bahan mentah untuk mengeluarkan alat ganti pesawat dan tenaga mahir dalam industri pembuatan.
“Mengenai isu teknikal Airbus A330neo milik MAG, kedua-dua Airbus dan Rolls-Royce bertanggungjawab memastikan pesawat itu berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi. Justeru, MAG telah melaksanakan langkah mitigasi.
"Usaha ini mengenal pasti dan menangani isu teknikal dengan kerjasama Airbus dan Rolls-Royce melalui penggantian komponen rosak. Pesawat itu dapat sambung operasi pada 24 Disember, dan tiada lagi isu teknikal timbul," katanya.
Beliau malah menambah bahawa pesawat Airbus A330neo telah menyelesaikan 101 penerbangan setakat 12 Februari lalu, tanpa sebarang masalah, untuk trip ke Melbourne, Kota Kinabalu, Doha, Kuching dan Kansai. - DagangNews.com








