Malayan Cement raih keuntungan tertinggi pada 1QFY26, CIMB Securities kekal saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malayan Cement raih keuntungan tertinggi pada 1QFY26, CIMB Securities kekal saranan 'beli'

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 DisCIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Malayan Cement Bhd, sambil menaikkan harga sasaran kepada RM7.50 daripada RM7.10, disokong oleh prestasi kewangan suku pertama FY2026 yang mencatat paras tertinggi pernah dicatatkan.

 

Menurut laporan penyelidikan itu, kekuatan neraca kewangan dengan nisbah gear bersih 25% memberi kelebihan daya tahan kepada M Cement dalam menghadapi cabaran industri, selain rangkaian loji konkrit yang strategik berhampiran mod logistik alternatif dan pusat permintaan utama.

 

Bagi 1QFY2026, M Cement merekodkan keuntungan teras RM201 juta, meningkat 7% suku ke suku susulan kenaikan hasil 10%.

 

Prestasi itu dipacu oleh jualan simen domestik dan konkrit siap bancuh yang lebih kukuh selepas kelembapan berkait perayaan pada suku sebelumnya.

 

Secara tahun ke tahun, keuntungan teras melonjak 40%, walaupun pertumbuhan hasil hanya 4%, menjadikan keputusan itu mewakili 31% daripada unjuran keuntungan setahun penuh CIMB Securities dan 29% daripada anggaran konsensus.

 

CIMB Securities berkata, lonjakan keuntungan itu disumbangkan oleh harga arang batu yang kekal rendah, kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih terkawal serta kecekapan operasi berterusan termasuk penggunaan bahan api alternatif.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ini, selaras dengan pola pembayaran dwitahunan kumpulan.

 

Dari sudut operasi, loji M Cement dilihat berada dalam kedudukan terbaik untuk menangani gangguan rantaian bekalan susulan peraturan baharu lebihan muatan, dengan kelebihan lokasi berhampiran landasan kereta api dan pusat permintaan seperti Pasir Gudang, Johor.

 

Kekuatan kewangan kumpulan juga membolehkan ia menawarkan jaminan penghantaran dan daya saing harga, sekali gus memberi manfaat kepada pelanggan ketika kekangan bekalan.

 

CIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28, sambil menaikkan harga sasaran sebanyak 6% kepada RM7.50, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan FY27F sebanyak 17 kali, selari dengan purata sejarah.

 

Firma penyelidikan itu turut menegaskan penilaian premium adalah wajar, disokong oleh kedudukan dominan pasaran, neraca kewangan yang sihat, serta unjuran pulangan atas ekuiti (ROE) menarik pada 10% hingga 11% bagi FY26–FY28.

 

Antara pemangkin utama kepada permintaan termasuk pelaksanaan berperingkat projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), peningkatan penggunaan simen daripada pusat data dan taman perindustrian, serta permintaan produk kuari yang semakin bersifat tidak anjal.

 

Dengan catat prestasi suku pertama paling kukuh pernah dicapai, serta kedudukan strategik dalam landskap industri, Malayan Cement kekal berada dalam landasan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan sektor pembinaan dan perindustrian domestik, sekali gus mengukuhkan pandangan positif CIMB Securities terhadap prospek saham itu.

 

Harga saham M Cement naik 0.45% kepada RM6.74. - DagangNews.com